Pertembungan ‘gergasi’

0

Dua pemandu lori maut dalam nahas di Jalan Bintulu-Tatau

NGERI: Keadaan lori yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Bintulu-Tatau petang semalam.

BINTULU: Dua pemandu lori maut apabila lori yang dipandu mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 54 di Jalan Bintulu-Tatau, petang semalam.

Ketua Balai Bomba Tatau, Pegawai Bomba Tinggi Azrel Izaidi Ahmad semasa dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu sekitar jam 2.45 petang.

Katanya, kemalangan itu membabitkan dua buah lori iaitu lori treler minyak dan lori pengangkut buah sawit.

“Dua mangsa yang merupakan pemandu dan tersepit dalam lori masing-masing dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian seperti yang disahkan oleh pegawai perubatan,” ujarnya.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa melibatkan lapan anggota bomba dari Balai Bomba Tatau terdiri daripada seorang ketua balai, seorang penyelia, dua pegawai bomba sepenuh masa, empat pegawai bomba bantuan dan dibantu oleh lima pegawai bomba dari Balai Bomba Bintulu serta pihak polis dan ambulans.

“Setakat ini identiti mangsa belum dikenal pasti dan operasi mengeluarkan mangsa dari dalam lori yang tersepit itu tamat sekitar jam 4.30 petang,” tambahnya.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.