JKR akan menandatangani Ikrar Integriti Korporat dengan SPRM

0

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) bakal menjadi agensi kerajaan seterusnya selepas Lembaga Sungai- Sungai Sarawak (LSS) yang menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu didedahkan Pengarah SPRM Badrul Shah Norman selain menjelaskan bahawa perbincangan rasmi sedang dijalankan di antara JKR dan SPRM bagi memastikan majlis memeterai ikrar itu dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau ketika bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Integriti dan Majlis Menandatangani CIP di antara LSS dan SPRM di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Pengerusi LSS Murni Suhaili, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Misnu Taha, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Safri Zainuddin dan Kontroler LSS William Jinep.

“Butir-butir khusus pelaksanaan masih diperincikan bersama beberapa agensi lain sebelum kita meneruskan majlis menandatangani CIP itu,” jelasnya sambil menambah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) juga akan memeterai CIP pada bulan depan selepas melalui beberapa perbincangan.

Ketika diminta mengulas mengenai rasa tidak puas hati Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem terhadap integriti Jabatan Hutan Sarawak (JHS), jelas Badrul, jabatan itu telah memeterai CIP sejak tahun lepas lagi.

“Sememangnya amat memakan masa untuk menerapkan nilai integriti dalam sesebuah organisasi, namun ia adalah proses berterusan bagi JHS,” jelasnya.

Sementara itu, Manyin berkata rasuah di Sarawak masih berada di peringkat terkawal dan beliau yakin SPRM kini giat menjalankan aktiviti membendung gejala itu daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.

“Budaya benci rasuah mungkin tidak akan dapat dicapai dalam satu hari atau satu bulan atau satu tahun malah beribu tahun, namun berusahalah agar ia dapat dijadikan sebagai budaya dan panduan kehidupan seharian kita,” jelasnya.