Nasib tertuduh kes bunuh dua pelajar Britain akan ditentukan hujung bulan

0

Oleh Anasathia Jenis //

AKAN DITENTUKAN: Polis mengiringi tertuduh meninggalkan mahkamah selepas prosiding semalam.

KUCHING: Nasib tertuduh dalam kes pembunuhan dua pelajar perubatan dari Britain, Zulkipli Abdullah akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Mac ini.

Tertuduh berusia 23 tahun dari Kampung Gersik, yang didakwa membunuh Aidan Brunger dan Neil Dalton, kedua-duanya berusia 22 tahun, melengkapkan pembelaannya dengan memilih untuk memberikan kenyataan tidak bersumpah.

Jika sabit kesalahan, penjual ikan itu boleh dijatuhi hukuman mati kerana ia adalah hukuman mandatori bagi kesalahan membunuh dengan niat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Februari lalu, Hakim Chew Soo Ho yang mendengar kes memutuskan bahawa kes prima facie telah berjaya ditentukan terhadap Zulkipli dan mengarahkan tertuduh untuk mengemukakan pembelaan terhadap tuduhan membunuh dua individu terbabit.

Zulkipli diwakili peguam bela Anthony Tai, manakala dua timbalan pendakwa raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Poh Yih Tinn mewakili pihak pendakwaan.

Pada hari pertama pembelaannya Rabu lepas, Zulkipli berkata adalah tidak benar beliau telah menikam dua warga asing terbabit dan menyebabkan kematian mereka, dan saksi pendakwaan berbohong ketika mereka memberikan kenyataan dalam perbicaraan.

Tertuduh juga berkata, beliau tidak ada sebab untuk menyebabkan kecederaan kepada dua pelajar asing itu kerana mereka sama sekali tidak dikenalinya dan tidak pernah bersemuka dengan satu sama lain.

“Ia juga mustahil bagi saya untuk berlawan dengan dua orang asing itu dan menikam mereka yang jauh lebih tinggi, lebih besar dan lebih kuat berbanding saya,” katanya sambil menafikan yang beliau ada memberitahu dua rakannya, Abdul Aziz dan Yeo Kia Sing, bahawa beliau mahu menguji kekuatan dua warga asing tersebut.

Zulkipli menegaskan tidak adil hanya dia didakwa

Tertuduh seterusnya berkata, pada malam kejadian, mereka mengunjungi pub sekadar untuk berseronok dan bertemu dengan gadis-gadis dan tidak membawa sebarang bersenjata bersamanya.

Tertuduh juga menafikan menikam mangsa tetapi ada menumbuk salah seorang daripada mereka.

“Ia juga tidak benar bahawa di dalam kereta, saya menghidu darah dan berkata bau darah orang asing sangat bagus,” katanya sambil menambah, “Kerana saya tidak tahu macam mana bau darah orang Inggeris atau darah mana-mana warga lain.”

Ketika menamatkan pembelaannya, tertuduh menegaskan, “Ia adalah tidak adil kerana saya sahaja yang didakwa atas tuduhan membunuh dua orang asing itu sedangkan tiga daripada kami terlibat dalam pergelutan dan bertumbuk dengan seorang lelaki Inggeris.”

Abdul Aziz dan Yeo adalah dua daripada lima suspek dalam kes itu, tetapi semua mereka kecuali tertuduh dibebaskan dan menjadi saksi penting pendakwaan.

Semalam, Muhamad Iskandar berkata dalam hujah untuk menjawab pembelaan tertuduh bahawa versi tertuduh tentang kejadian yang membawa kepada serangan itu hanya didedahkan pada peringkat pembelaan.

“Bahagian penting dalam pembelaan tertuduh tidak dikemukakan kepada saksi pendakwaan yang relevan, khususnya kepada Yeo dan Abdul Aziz, dan bukti mereka berhubung kejadian yang membawa kepada serangan itu tidak pernah dipertikai mahupun dinafikan oleh tertuduh.”

Secara khusus, katanya, tertuduh tidak pernah mempertikai mahupun menafikan tertuduh adalah orang yang telah mengusir dua orang asing terbabit di Tat Soon Cafe dan Yeo adalah orang yang duduk di tempat pemandu di dalam kereta Yeo sendiri.

Muhamad Iskandar juga memberitahu mahkamah, tertuduh tidak menyangkal dakwaan bahawa kereta Yeo diletakkan selari dengan pintu masuk ke Hotel Longhouse kerana tertuduh mencari pelacur di kawasan itu.

“Beliau (Zulkipli) juga tidak menafikan Yeo memandu kereta di sekitar hotel itu kerana tertuduh mahu mencari pelacur di sana selepas gagal menemui pelacur di hotel tersebut,” katanya.

Tertuduh juga tidak menolak dakwaan bahawa beliau telah menyebut ‘mau test power’ (mahu menguji kekuatan) selepas beliau melihat dua orang asing di seberang jalan, kata Iskandar.

Menurutnya, tertuduh juga tidak menafikan bahawa salah seorang warga asing itu adalah orang yang dihalau oleh tertuduh di kafe berkenaan.

Dalam kes pendakwaan, seramai 34 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan selama 10 hari.

Zulkipli pula melengkapkan pembelaan diri dalam masa dua hari.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sini pada 6 Ogos tahun lepas antara jam 4.10 pagi dan 4.15 pagi.

Aidan dan Neil memasuki minggu terakhir dan dijadual menamatkan kerja amali selama enam minggu di sebuah hospital di sini sebelum insiden itu berlaku.

Kes itu turut menarik perhatian media antarabangsa dengan beberapa wakil mereka yang hadir pada prosiding berkenaan.

Turut hadir di mahkamah adalah ahli keluarga Zulkipli.