Rakan judi ugut wang taruhan RM20,000

0

SIBU:Seorang ahli perniagaan mendakwa seorang rakannya cuba memeras ugutnya dan meminta bayaran sebanyak RM20,000 selepas satu aktiviti permainan judi.

Bimbang keselamatannya terancam, pengadu membuat laporan polis semalam.

Menurut pengadu, dia diajak seorang rakan untuk satu permainan judi dengan wang pertaruhan sebanyak RM10,000 tetapi menolak pelawaan tersebut.

Difahamkan, lelaki tersebut hanya menyertai rakan untuk berjudi apabila dia beritahu bahawa ia tidak melibatkan pertaruhan.

Bagaimanapun, dia terkejut selepas itu apabila menerima panggilan rakan yang menyatakan dia kalah dan perlu membayar RM20,000.

Katanya, rakan tersebut memberitahunya bahawa dia mengenali seorang ketua gengster.

Apabila pengadu tidak mampu membuat bayaran sebanyak itu, rakannya meminta dia membayar RM5,000.

Pengadu juga ada menerima panggilan daripada seorang lagi lelaki yang tidak dikenali meminta bayaran jumlah yang sama.

Apabila terasa tertipu, pengadu pergi ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis mengenai kes tersebut.