Remaja dituduh curi wang dalam tandas

0

SIASAT: Remaja terbabit (kiri) dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Polis menahan seorang remaja selepas dia dituduh mencuri wang dari dompet yang tertinggal di dalam tandas sebuah kedai makan di sini, lewat malam kelmarin.

Menurut sumber, lelaki berusia 19 tahun itu bersama beberapa rakannya berada di kedai makan tersebut di Jalan Bukit Mata di sini sekitar 12 tengah malam.

Difahamkan, semasa kejadian, seorang lelaki tertinggal dompetnya di dalam tandas.

“Sebaik menyedari perkara tersebut, lelaki terbabit segera kembali ke tandas berkenaan dan kebetulan masa yang sama turut melihat suspek baharu keluar dari situ.

“Dia terus masuk ke tandas tersebut dan berjaya menemui semula dompetnya namun dia mendakwa wang tunai RM700 telah hilang dan terus menuduh remaja terbabit mencuri wangnya itu,” kata sumber.

Suspek bagaimanapun menyangkal perkara tersebut menyebabkan lelaki terbabit terpaksa menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Remaja itu kemudian dibawa ke Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan pemeriksaan lanjut hanya menemui wang tunai berjumlah RM200 yang didakwa miliknya sendiri,” katanya.

Sementara dalam insiden berasingan, sebuah stesen minyak di Jalan Ban Hock di sini dipecah masuk dan beberapa kotak rokok berjenama dilaporkan hilang awal pagi semalam.

Insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 3 pagi dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didapati seorang lelaki telah memecahkan cermin hadapan premis berkenaan dan terus masuk ke kaunter.

“Mesin wang turut dirosakkan tetapi tiada wang di dalamnya menyebabkan suspek bertindak melarikan beberapa kotak rokok sahaja,” kata sumber.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.