Wanita OKU dipercayai dirogol sekumpulan remaja

0

PADAWAN: Seorang wanita kurang upaya (OKU) mendakwa menjadi mangsa rogol oleh sekumpulan remaja ketika menghadiri majlis hari jadi saudaranya di Kampung Mambong, di sini Februari lepas.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 33 tahun dikatakan bersama keluarganya pergi ke rumah saudaranya itu pada malam 19 Februari untuk bersama-sama meraikan majlis hari jadi tersebut.

Bagaimanapun, mangsa yang menghadapi masalah kecerdasan otak (lembam) telah ditarik oleh seorang daripada suspek ke bahagian belakang rumah tersebut dan dirogol.

“Seorang daripada suspek menarik mangsa ke belakang rumah tersebut dan dengan dibantu oleh dua lagi rakan subahatnya telah bertindak merogol mangsa sebelum meninggalkannya seorang diri di situ,” kata sumber.

Kerana trauma dengan insiden tersebut, mangsa hanya mendiamkan diri namun terpaksa mengadu kepada adiknya selepas tidak tahan dengan kesakitan pada alat sulitnya.

“Mangsa mengadu kesakitan pada alat sulitnya dan meminta adiknya menghantarnya ke klinik untuk mendapatkan rawatan walaupun pada mulanya enggan menceritakan perkara sebenar kepada adiknya.

“Simpati dengan nasib kakaknya, adik mangsa kemudian terus melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis,” kata sumber.

Justeru bertindak kepada laporan tersebut, tiga remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan malam kelmarin di rumah masing-masing iaitu seorang di Kampung Mambong dan dua lagi di Kampung Sikog.

Ketua Polis Daerah Superintenden Ng Ah Lek yang mengesahkan tangkapan tersebut memberitahu ketiga-tiga suspek itu direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol berkumpulan.

“Kesemua suspek mula direman hari ini (semalam) selama tujuh hari untuk membolehkan siasatan dilakukan,” katanya.