11 agensi kerajaan, NGO menjayakan program ‘Taburkan Budi Semaikan Bakti’

0

Oleh Borhaniza Ali Basah //

GOTONG-ROYONG: Para peserta program sedang menjalankan gotong-royong membersihkan sekitar kawasan Surau Darul Iman.

SEBELAS agensi kerajaan termasuk badan NGO menjayakan program ‘Taburkan Budi Semaikan Bakti’ anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Unit Sibu yang diadakan di Surau Darul Iman, Kanowit baru-baru ini.

Badan yang terlibat ialah AJK Surau Darul Iman Kanowit, Jabatan Agama Islam (JAIS) Sibu, Persatuan Ruqyah Syarieyah Sibu, HIKMAH Sibu, Tabung Haji Sibu, IKRAM Sibu, IM4U, Persatuan Kebajikan Islam Hospital Kanowit (PERKIB), PERKIM, Kelab Kereta SWCC dan RTM Sibu.

Seramai 300 orang telah terlibat dalam menjayakan program ini yang sambutannya amat menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat, termasuklah kanak-kanak, golongan belia, remaja dan dewasa.

Antara aktiviti yang diadakan bagi memeriahkan suasana ialah senamrobik, gotong-royong, Perubatan Islam, Ziarah Mahabbah, wacana minda, sukaneka dan futsal.

Acara program turut juga disertakan dengan gerai-gerai pameran dari jabatan-jabatan /agensi-agensi yang terlibat seperti Hospital Kanowit, IKRAM, Jabatan Bantuan Guaman, Lembaga Tabung Haji, Persatuan Perubatan Islam Ruqyah Syarieyah Sibu dan RHB Bank Kanowit.

Objektif program adalah untuk melahirkan semangat kesukarelawanan dari kalangan remaja dan belia, merapatkan ukhwah dan mewujudkan hubungan yang erat antara masyarakat di Kanowit dengan jabatan/agensi.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menanamkan rasa cinta belia Islam kepada Surau/ Masjid di Kanowit dan dengan harapan program ini akan menjadi wadah dalam membina perpaduan di kalangan masyarakat Islam.

ALBUM: Bergambar beramai-ramai selepas menjalankan aktiviti Ziarah Mahabbah.