Adenan janji lihat masalah setinggan

0

TERUJA: Adenan ditemani Dr Sim (kanan) menyaksikan persembahan tarian singa sempena Majlis Chap Goh Meh di Padang Jubilee kelmarin.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berjanji akan melihat masalah setinggan yang dihadapi di negeri ini.

Beliau memberitahu di bawah pentadbirannya,  kerajaan akan berusaha mengenal pasti individu yang tidak mempunyai tanah dan hidup secara setinggan.

“Terdapat setinggan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, kita harus bantu mereka kerana mereka tidak mempunyai tanah untuk mendirikan rumah.

“Mengikut dasar kerajaan, mereka yang tinggal di kawasan setinggan dan mahu dipindahkan ke kawasan lain, kita menawarkan tanah atau tempat baharu kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Chap Goh Meh anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Padang Jubilee di sini malam kelmarin.

Adenan memberitahu individu yang tinggal di kawasan setinggan tidak perlu bimbang kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah tersebut.

“Jangan bimbang, kita akan menyelesaikan masalah setinggan ini,” tambahnya lagi.

Mengenai perkembangan politik semasa, Adenan berharap SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dapat berkerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 nanti.

“Ia akan menjadi lebih baik kerana kerjasama SUPP dan UPP penting kepada masyarakat Cina,” tegasnya.

Menurutnya, sekiranya kedua-dua pihak enggan bekerjasama beliau meminta agar SUPP dan UPP menghentikan pergaduhan sesama sendiri.

“Kita bukannya mahu berlawan sesama sendiri tetapi kita harus bersatu melawan pihak pembangkang,” katanya.

Hadir sama pada majlis malam kelmarin Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian dan tetamu kehormat lain.