Mark jadi penderma organ pertama untuk Hospital Miri

1

MIRI: Kehilangan seorang anak adalah pengalaman yang menyedihkan kepada setiap ibu bapa.

Tetapi setelah mengetahui anak yang disayangi akan menyelamatkan nyawa orang lain setelah pergi selamanya, ia telah memberi ketenangan kepada mereka.

Situasi inilah yang dirasai oleh Simon Dawit dan isterinya Lucy Julius iaitu ibu bapa penderma organ pertama untuk Hospital Miri, mendiang Mark Macallister, 21.

“Pemergian Mark amat menyedihkan untuk kami tetapi pemergiannya telah menyelamatkan nyawa orang lain dengan mendermakan organ-organnya. Kami berasa tenang setelah mengetahui semua ini,” jelas beliau semalam.

Simon yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) Miri memberitahu, pembedahan pemindahan organ telah dilakukan untuk dua penerima organ anaknya.

Seorang pesakit menerima buah pinggang sementara seorang lain menerima hati.

“Organ lain yang juga akan didermakan ialah mata dan sum-sum tulang dari tangan dan kaki Mark,” jelas beliau semalam.

Simon memberitahu, sebelum meninggal dunia Mark mengikuti minggu orientasi di Curtin University Sarawak untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.

Mark telah meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku pada 25 Februari lalu, mengalami koma dan disahkan mati otak.

Mayat Mark telah diterbangkan ke Kuching petang semalam. Majlis pengebumian akan diadakan di kampung halamannya di Kampung Rayang, Serian pada hari ini (Isnin).

Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong berkata, ia merupakan sumbangan organ pertama untuk Hospital Miri.

Beliau dalam kenyataannya semalam memberitahu, prosedur perolehan organ mengambil masa selama 11 jam bermula dari jam 1 pagi hingga 12 tengah hari.

Pasukan pemindahan organ terdiri daripada dua pakar bedah serta pasukan Perolehan Tisu dan Organ (TOP) terdiri daripada pakar bedah luar, tempatan dan kakitangan Hospital Miri.

“Kami amat berterima kasih kepada keluarga penderma yang telah membuat keputusan yang luar biasa dan tidak mementingkan diri ini,” jelas Wong.