MSSS Sibu: SMK Sacred Heart dan SMK St Elizabeth ternyata unggul 

0

TERBAIK: Barisan tetamu (baris belakang) bersama lapan atlet terbaik mengikut kategori masing-masing pada majlis penyampaian hadiah petang kelmarin.

SIBU: SMK Sacred Heart dan SMK St Elizabeth masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita dinobat juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSS) Bahagian Sibu Ke-49 kelmarin.

SMK Sacred Heart dan SMK St Elizabeth masing-masing berjaya mengumpul mata berjumlah 377 dan 421 bagi memastikan gelaran juara menjadi hak milik mereka.

Kejohanan bermula Khamis (3 Mac) lalu dan berakhir petang kelmarin berlangsung di Stadium Tun Zaidi bertemakan ‘Fly Kenyalang, Fly Fly High’.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga kategori lelaki  disandang SMK Sedaya, Kanowit dan SMK Kanowit dengan pungutan mata masing-masing 259 mata dan 224.50 mata.

Manakala bagi kategori wanita, tempat kedua dan ketiga dengan pungutan mata 341.50 dan 164.50 masing-masing dimenangi SMK Sedaya, Kanowit dan SMK Kanowit.

Bagi juara keseluruhan sekolah rendah dimenangi sekolah MSSR Zon Bandar A untuk kategori lelaki dan MSSR Zon Kanowit bagi kategori wanita.

Seramai lapan orang atlet dinobat sebagai atlet terbaik mengikut kategori iaitu Veronica Usop, Tan Siong Yu, Josephine Dansu, Bracly Varney Bakat, Rowina Jack, Ericson Dana, Betty Hoong dan Nansri Clement.

Di samping itu, sepanjang kejohanan tersebut terdapat 11 rekod baharu bahagian tercatat oleh atlet yang mengambil acara balapan dan padang.

Seramai 26 buah sekolah menengah dan lima buah sekolah rendah menyertai kejohanan dengan mempertandingkan tujuh kategori.

Majlis penangguhan dan penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Temenggung Vincent Lau.