Anak rogol ibu kena 40 tahun, 16 sebatan

5

KUCHING: Seorang penganggur dihukum penjara selama 40 tahun dan dikenakan 16 sebatan oleh Mahkamah Seksyen di sini semalam kerana merogol ibu kandungnya bulan lepas.

Tertuduh, 27, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan ke atasnya di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad.

Ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Bidayuh, tertuduh kelihatan tenang dan mengaku telah melakukan kesalahan itu sebanyak dua kali ke atas ibunya yang berusia dalam lingkungan 50 tahun pada 19 Februari lalu, sekitar jam 1 hingga 1.10 pagi dan 1.20 pagi di rumah mereka yang terletak di Batu 24, Jalan Kuching-Serian lama.

Bagi setiap pertuduhan, dia dijatuhi 20 tahun penjara dan lapan sebatan.

Amernudin mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dan akan berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap.

Fakta kes yang dikemukakan kepada mahkamah menyatakan bahawa tertuduh, yang merupakan anak sulung dalam adik-beradik, merogol ibunya yang sedang tidur.

Ketika kejadian, mangsa cuba menjerit untuk meminta pertolongan tetapi mulutnya telah ditutup menggunakan bantal.

Perbuatan terkutuk kali kedua tertuduh terhadap ibunya akhirnya terbongkar apabila salah seorang adiknya ternampak tindakannya dan segera menolaknya.

Tertuduh kemudian melarikan diri dari rumah manakala adiknya membawa ibu mereka membuat laporan di Balai Polis Tapah.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh telah ditahan pada 19 Februari di rumahnya dan dalam siasatan awal juga mendedahkan bahawa dia memang telah melakukan perbuatan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Stella Augustine Druce menggesa mahkamah untuk mengkaji kepentingan awam dan kepentingan mangsa yang merupakan ibu tertuduh sendiri.

Katanya, perbuatan terkutuk tertuduh yang merogol ibunya sendiri tidak boleh diterima dan patut diberi perhatian serius oleh mahkamah.

“Saya berdoa hukuman berat terhadap tertuduh akan menjadi satu pengajaran bagi dirinya,” katanya.

Dalam permohonannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman diringankan atas sebab ia adalah kesalahan pertamanya.