Ibu hamil 7 bulan mati kemalangan

0

SIASAT: Anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Bau menjalankan siasatan di tempat kejadian.

KUCHING: Seorang ibu bersama anak dalam kandungannya yang berusia tujuh bulan terbunuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 20, Jalan Singai-Matang dekat sini semalam.

Mangsa ialah Veronica Varriennessila Latan, berusia 20 tahun dan berasal dari Kampung Sinibong, Bau.

Menurut ibu saudara mangsa, semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang di kedai berhampiran sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Dia (mangsa) tinggal bersama saya, tadi (semalam) dia ada memberitahu saya yang dia hendak ke kedai kerana mahu membeli sesuatu dan selepas itu dia terus keluar dengan menunggang motosikal.

“Tapi, tidak lama selepas itu, saya diberitahu oleh saudara yang dia (mangsa) terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari kedai,” katanya.

Difahamkan, semasa kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Toyota Fortuner sehingga menyebabkan mangsa tercampak dari atas motosikalnya.

“Mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan ketika itu juga sebuah pikap jenis Toyota Hilux tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” kata sumber.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian segera membantu mangsa selain turut menghubungi pihak ambulans.

Namun, mangsa yang juga merupakan ibu kepada dua orang anak disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik yang tiba beberapa minit kemudian.

Manakala, pemandu Fortuner serta pikap tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Bau untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk upacara pengebumian.