Mangsa ‘terkapai-kapai melawan arus deras’

0

TRAGIS: Lubuk Nanga Malong iaitu kawasan mangsa dilihat kali terakhir oleh neneknya terkapai-kapai sebelum tenggelam.

SARATOK: ‘Ini! Ini!… Uchu nuan laboh ke sungai (Nenek! Nenek!… Cucu kamu jatuh ke dalam sungai).’

Itulah jeritan dua rakan Agustine Ningkan Bundak, 8, apabila terlihat mangsa tergelincir dari tangga lalu terjatuh ke dalam sungai.

Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan murid lelaki tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Malong, Saratok dikhuatiri lemas setelah tergelincir lalu terjatuh ke dalam Sungai Awik di sini sekitar jam 5.30 petang kelmarin.

Nenek mangsa, Renyam Bin, 55, berkata ketika kejadian mangsa menyaksikan neneknya menangguk anak udang di tebing Sungai Awik berhampiran pangkalan lebih kurang 150 meter dari rumah panjang mereka.

“Mangsa berada di tangga sebelah hulu pangkalan bersama dua rakannya bersekolah di sekolah sama iaitu seorang tahun lima dan seorang lagi tahun enam.

“Melihat kejadian itu, dua rakan mangsa menjerit kepada saya yang berada di bahagian hilir sungai memaklumkan bahawa cucu kesayangan saya terjatuh ke dalam sungai.

“Sebaik terdengar jeritan dua orang rakannya, saya terus menoleh ke bahagian hulu sungai dan terlihat cucu saya sedang terkapai-kapai melawan arus deras sungai sedang pasang,” kata Renyam sambil menangis ketika ditemui di Rumah Pana, Nanga Malong Awik, Saratok semalam.

Katanya, beliau berusaha menyelamatkan cucunya namun beliau sendiri sedar kelemahan tidak pandai berenang.

“Ketika itu, saya berlari ke tebing sungai sambil menjerit minta pertolongan dan saya masih terlihat cucu saya bergelut terkapai-kapai melawan arus sungai.

“Namun, lebih kurang 60 meter dari lokasi dia terjatuh iaitu di Lubuk Nanga Malong kelibat cucu saya terus hilang tenggelam ke dalam sungai,” ujar Renyam.

Menurut Renyam, cucunya baharu sahaja tinggal bersamanya dan datuknya sejak Oktober tahun lalu setelah ibu bapanya bercerai.

Katanya, mangsa bersekolah di SK Hulu Segan, Sebauh Bintulu sebelum berpindah ke SK Nanga Malong, Saratok dijaga nenek bersama datuknya sementara bapanya bekerja di Bintulu.

“Mangsa mempunyai dua beradik dan merupakan anak sulung, manakala adiknya berusia tiga tahun mengikuti ibunya setelah kedua orang tuanya bercerai,” katanya.

Menurut Tuai Rumah Pana, kejadian itu merupakan ketiga berlaku kepada penduduk rumah panjang berkenaan.

“Semua mangsa adalah kanak-kanak dan lokasi kejadian adalah tempat yang sama. Kejadian pertama berlaku sekitar 1975 dan mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan, manakala kejadian kedua pada 1979 seorang kanak-kanak lelaki sebagai mangsa dan kejadian kali ini adalah yang ketiga,” kata Pana.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Mohamad Darul Azreen yang ditemui di pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) berkata, semalam merupakan hari kedua operasi dijalankan bagi menjejaki mangsa.

“Kita menerima panggilan Pusat Gerakan Operasi (PGO) tentang kejadian itu jam 5.52 petang daripada orang awam.

“Sebaik sahaja menerima panggilan kami bersama sebuah bot bergegas ke lokasi kejadian dan seterusnya melancarkan operasi sehingga jam 7.30 malam, namun mangsa masih belum dikesan.

“SAR diteruskan hari ini (semalam) dan bomba menambah kekuatan anggota dengan bantuan Balai Bomba Betong seramai 11 orang bersama dua buah bot,” ujarnya.