Masalah paip air kerap bocor, pecah di SMK Tinjar perlu diatasi segera: Entri

0

PERIKSA: Entri (dua kiri) memeriksa loji rawatan air SMK Tinjar bersama wakil JKR, Jabatan Pelajaran, kontraktor dan konsultan.

MIRI: Masalah paip air yang kerap bocor dan pecah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar perlu diatasi segera sebelum loji rawatan air dibina di sekolah itu dijangka siap dalam tempoh empat bulan.

Menteri Muda Bekalan Air, Datuk Sylvester Entri Muran berkata Kementerian Pelajaran, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsultan berkaitan harus bekerjasama menggantikan atau membaiki sistem paip dalaman memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan efektif.

“Loji rawatan air siap pada Mei dan saya mengarahkan ketiga-tiga pihak terbabit untuk bekerjasama mengatasi masalah itu supaya tidak berulang,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak loji tersebut semalam.

Projek menelan kos kira-kira RM1.4 juta bermula minggu ini dijangka memanfaatkan kira-kira 1,000 penghuni termasuk pelajar dan kakitangan sekolah sebelum ini bergantung sepenuhnya dengan air sungai menggunakan paip dari Sungai Tinjar, kira-kira 1.5 kilometer dari sekolah.

“Saya mahu masalah paip bocor dan pecah diatasi segera memandangkan SMK Tinjar merupakan sekolah menengah menempatkan pelajar dari Tinjar, Teru dan Baram.

Sekolah ini siap pada 2009 dengan menelan kos RM46 juta namun tidak pernah mempunyai bekalan air bersih menyebabkan penghuninya menggunakan air dari Sungai Tinjar untuk mandi dan mencuci.

Namun, air tersebut tidak sesuai untuk diminum kerana berbau dan mempunyai kelodak.

Konsultan Ir Koh Lip Kiong berkata, kerja-kerja menyiapkan projek itu dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada jadual namun cabaran utama ialah membersihkan sistem perpaipan yang kotor.

“Paip tersebut digunakan menyalurkan air mentah dalam tempoh enam tahun dan kerja-kerja membersih dan mengepam kotoran itu mengambil masa. Namun, kita akan melakukan terbaik memastikan siap dalam tempoh dijadualkan,” katanya.