Skuad kriket ceriakan Awang Mahyan

0

BERPRESTIJ: Awang Mahyan (dua kanan) dan Tun Ahmad Sarji (tiga kiri) bersama skuad kriket Sarawak pada Kejohanan Kriket Perisai
Raja-Raja minggu lalu.

KUCHING: Presiden Persatuan Kriket Sarawak (SCA), Awang Mahyan Awang Mohamed gembira dengan kejayaan skuad negeri mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Kriket Perisai Raja-Raja di Klang pada minggu lalu.

Namun, beliau menegaskan banyak yang perlu Sarawak lakukan untuk dapat menyaingi jaguh dalam sukan itu seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kita perlu meningkatkan usaha untuk memastikan Sarawak mampu menyaingi jaguh kriket di Malaysia seperti ATM dan UKM.

Untuk itu, SCA akan meneruskan program melatih pemain-pemain baharu dalam lingkungan usia 18 tahun dalam usaha mencungkil pemain-pemain berbakat.

“Kita yakin dapat mencapai matlamat itu dengan bantuan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya di sini semalam.

Mengulas mengenai kempen Sarawak pada kejohanan tersebut, Awang Mahyan berkata ia satu keputusan di luar jangkaan namun berjanji akan membawa skuad lebih mantap pada tahun depan.

Pada masa sama, Awang Mahyan merakamkan penghargaan kepada Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid kerana mempelawa Sarawak menyertai kejohanan berprestij itu.

Sarawak mencipta kejutan apabila berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir kejohanan berlangsung dari 3 hingga 8 Mac lalu setelah menundukkan Negeri Sembilan (29 larian), Terengganu (22 larian) dan tewas di tangan UKM dengan 288 larian.

Hasrat skuad bimbingan Chew Pok Cheong melangkah ke final disekat ATM apabila mereka tewas dengan 202 larian dalam saingan separuh akhir berlangsung di Bayuemas Oval, Selangor pada 7 Mac.