Terjerat muslihat

0

Oleh Michael Ubam//

 

ADA KESAN: Seorang pegawai polis menjalankan pemeriksaan di dalam kereta terbabit.

SIBU: Seorang gadis berusia 16 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol selepas terjebak dalam muslihat seorang lelaki dikenalinya melalui laman sosial WeChat.

Insiden itu hanya disedari oleh ibu bapanya setelah mendapati anak gadis mereka mengandung tujuh bulan setengah.

Sebelum itu, ibu bapa mangsa mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila mendapati bahagian perut anak gadis mereka semakin memboyot.

Selepas berkali-kali menyoal dan memujuk, akhirnya mangsa terpaksa mendedahkan perkara sebenar kepada ibu bapanya.

Menurut sumber, gadis tersebut berkenalan dengan lelaki terbabit melalui WeChat, namun dia sendiri tidak mengetahui nama sebenarnya.

“Dia memberitahu ibu bapanya, dia pernah keluar dengan lelaki itu sekali menaiki sebuah kereta Toyota Land Cruiser dan dibawa ke sebuah parkir kereta berdekatan sebuah hotel terkemuka di sini,” kata sumber.

Pasangan tersebut dipercayai melakukan hubungan seks di dalam kereta tersebut, katanya.

Sejak hari itu, kedua-dua mereka tidak berhubung mahupun berjumpa lagi.

Pada jam 9.30 pagi Ahad lalu, ibu bapa mangsa mengiringi anak gadis mereka pergi ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.

Polis bertindak daripada maklumat berjaya menahan seorang lelaki berumur 50 tahun untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Sebuah kereta Land Cruiser turut dirampas dan dibawa ke balai, manakala polis forensik dikerah untuk menjalankan pemeriksaan di dalam kereta berkenaan.

Hasil siasatan, mereka menemui beberapa kesan tompokan lama di dalam kereta tersebut dan sampel itu diambil untuk ujian DNA.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol.