Naik taraf Masjid Darul Taqwa tampung 1,000 jemaah

0

BANTU: Adenan menyerahkan replika cek kepada Hamsein sambil disaksikan Jamsari (tiga kanan).

LUNDU: Masjid Darul Taqwa Daerah Lundu mampu menampung 1,000 jemaah pada satu masa apabila kerja-kerja naik taraf siap tahun depan dengan kos keseluruhan kira-kira RM3 juta.

Pengerusinya Jamsari Ahamad berkata, buat masa ini masjid tersebut hanya mampu menampung antara 300 hingga 400 jemaah kerana ruang solat yang terhad.

“Apabila siap sepenuhnya tahun depan, saya pasti masjid ini akan menjadi tumpuan dan ia mampu menampung bilangan jemaah yang ramai sekitar 1,000 orang,” katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyerahkan cek bernilai RM3 juta kepada Pegawai Daerah Lundu Hamsein Atar.

Selain pembesaran ruangan solat, Jamsari berkata, pejabat jawatankuasa masjid, bilik khas untuk kakitangan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) juga akan dibina.

“Ini menjadikan masjid ini lebih lengkap kerana mempunyai pelbagai prasarana yang diperlukan,” ujarnya.

Menurutnya, ruang khas untuk pengurusan jenazah juga dibina untuk memberi kemudahan kepada masyarakat Islam apabila ada sebarang kematian.

“Kita memang ada ruang khas untuk pengurusan jenazah namun tidak lengkap,” jelasnya.

Secara keseluruhannya masjid ini dibina merangkumi kawasan seluas empat ekar termasuk tempat letak kenderaan.