Nelayan asing menyorok

0

Oleh Mohd Achil Norrlatep dan Steve Annuar//

 

TERBONGKAR: Lima buah bot disyaki digunakan nelayan warga asing ditambat di penempatan setinggan berdekatan jambatan Pujut 7.

MIRI: Nelayan warga asing dipercayai orang Suluk dan Bajau dipercayai menyembunyikan diri dan bot masing-masing selepas menyedari aktiviti menangkap ikan serta bubuk haram di perairan ini mendapat perhatian pihak berkuasa.

Sejak kegiatan itu dibongkar media pada Rabu lepas, nelayan warga asing dipercayai bersembunyi di kawasan agak terpencil tanpa melakukan aktiviti penangkapan hasil laut.

Semalam, tinjauan ke beberapa lokasi di Sungai Miri yang turut ditemani beberapa nelayan tempatan mendapati rata-rata bot kepunyaan warga asing terbabit disorok di beberapa kawasan tertentu.

“Mereka sekarang bersembunyi. Bot diletak di beberapa lokasi di Sungai Miri kerana takut diketahui oleh pihak berkuasa,” kata Kamberi Bakar, 50, seorang nelayan tempatan kepada Utusan Borneo semalam.

Antara lokasi mereka menyembunyikan bot ialah Kampung Wireless dan Piasau Utara masing-masing sebuah bot, Kampung Pasir Lutong dan Pujut Adong (3), Kampung Pengkalan Lutong (2) dan setinggan berdekatan jambatan Pujut 7 (5).

Menurutnya, nelayan warga asing terbabit kebiasaannya akan turun ke laut menangkap ikan pada tengah malam dan balik semula ke Sungai Miri pada jam 7 pagi kerana tidak mahu dilihat pihak berkuasa.

“Kami sangat bimbang kerana jika tidak dibendung, ia akan berleluasa dan mungkin kejadian seperti di Lahad Datu akan berulang,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya, perhatian serius dan kerjasama pihak berkuasa amat penting untuk menyekat perkara tersebut daripada menjejaskan kehidupan nelayan tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin menyeru nelayan tempatan agar membawa kad pengenalan dan lesen bot ketika berada di laut sebagai pengesahan identiti ketika pemeriksaan pihak berkuasa dalam mencegah gejala nelayan asing di sini.

Beliau berkata, kerjasama nelayan termasuk tidak menyewa bot kepada pendatang asing dapat membantu penularan gejala tersebut.

“Nelayan harus membawa kad pengenalan masing-masing. Kita meminta penduduk melaporkan segera kepada pihak berkuasa mengenai kehadiran nelayan asing di kawasan mereka,” jelas Lee ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Bahagian Miri, petang semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Perhubungan berkata, dua pasukan khas ditubuh untuk menangani masalah nelayan serta pendatang asing di sini.

Pasukan pertama diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri yang memfokus kepada nelayan asing, sementara pasukan kedua diketuai Jabatan Imigresen Miri yang menangani gejala pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mengulas mengenai dakwaan nelayan nelayan asing dan PATI menetap di kediaman setinggan sekitar kawasan Lutong dan Pujut terutama berdekatan pantai dan sungai, Lee berkata kerajaan memandang serius isu tersebut.

“Kita mahu masalah nelayan asing segera diselesai. Kita mahu lebih banyak tindakan bersepadu melibat agensi berkaitan bagi membasmi gejala ini,” tegas Lee.