Pekan Lapok bergantung kepada air hujan

1

Oleh Clare Cinderella //

Walaupun terletak berhampiran bandar raya Miri, namun ia masih tiada bekalan air bersih atau air paip

MIRI: Meskipun hanya mengambil masa selama sejam setengah perjalanan dari pusat bandar raya Miri, namun pekan kecil Lapok yang terletak di daerah Beluru dekat sini, masih tidak mempunyai bekalan air bersih atau air paip.

Selain mendapat sumber air dari Sungai Tinjar, penduduk pekan Lapok dan kampung serta rumah panjang sekitarnya turut bergantung sepenuhnya kepada air hujan.

Situasi ini masih lagi dialami penduduk di situ meskipun jalan raya iaitu Jalan Lapok yang bernilai jutaan ringgit sudah siap.

Justeru, Ahli Majlis Kepimpinan Pusat (MKP) PKR William Leong menggesa menteri berkaitan yang juga wakil rakyat kawasan berkenaan menyelesaikan isu yang berlarutan terlalu lama dan tidak sepatutnya menjadi kekurangan kepada penduduk kawasan berkenaan.

“Pekan Lapok walaupun di kawasan luar bandar namun masih lagi dekat dengan Miri dan masalah air tidak sepatutnya masih menjadi isu infrastruktur asas di kawasan tersebut,” tegasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pekan Lapok kelmarin dan bertemu dengan para penyokong parti itu di Baram.

Jelasnya, beliau sendiri mengadakan lawatan ke situ (kelmarin) dan bertemu penduduk serta peniaga di pekan itu.

“Mereka masih lagi menggunakan air hujan sebagai sumber air utama selain air dipam dari Sungai Tinjar untuk menampung keperluan bekalan air harian,” katanya.

Katanya walaupun tangki 1Malaysia ada diagihkan kepada penduduk namun sumber air masih mengguna air hujan,  bukan air bersih terawat.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Miri merangkap Ketua PKR Miri Dr Michael Teo, Ketua PKR Baram Roland Engan, Ketua Wanita PKR Sarawak Jenny Lawai serta Setiausaha PKR Baram Dennis Along.