Dadah: Tukang tarik kereta diberkas polis

0

BERKAS: Suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri petang kelmarin.

MIRI: Seorang tukang tarik kereta disyaki terlibat kegiatan penjualan dadah berbahaya secara kecil-kecilan diberkas polis tengah hari kelmarin.

Tangkapan ke atas suspek dibuat hasil serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) ke sebuah rumah di kawasan Tudan Fasa 2 di sini.

Berikutan tangkapan itu, suspek berusia 32 tahun dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat sepasukan polis diketuai Sub-Inspektor Bakar Drahman membuat serbuan ke sebuah rumah di Tudan Fasa 2.

Dalam serbuan sekitar jam 1.25 petang itu, polis menahan seorang lelaki baharu bangun tidur untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketika diperiksa, suspek sendiri menyerahkan satu peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu dengan anggaran berat 0.84 gram.

Barang disyaki dadah itu kemudian dirampas dijadikan barang kes.

Polis turut melakukan ujian saringan awal ke atas sampel air kencing suspek mendapati hasilnya menunjukkan kesan positif dadah jenis ketamine.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan tersebut.

Katanya, suspek ditangkap untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan mengambil dadah tanpa kebenaran pihak berkuasa.