Penjualan daging, telur hidupan liar dibanteras

0

Daging ular sawa

KUCHING: Pasukan Hidupan Liar daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya merampas lebih 280 biji telur penyu dan kira-kira 15kg daging hidupan liar (ular sawa dan labi-labi) dalam rondaan penguatkuasaan pada hujung minggu di Pasar Basah Serian, Bau dan Serikin.

Satu daripada suspek di Bau telah ditahan untuk siasatan lanjut manakala pesalah dalam kes yang lain diarah beredar.

Kes itu telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Walaupun ia masih di peringkat amaran kepada pembalakan haram, kami juga bertindak terhadap aktiviti yang mengancam hidupan liar yang dilindungi dalam usaha pemuliharaan hidupan liar,” kata jurucakap pejabat ketua pegawai eksekutif SFC dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Di negeri ini, mereka yang didapati bersalah melanggar Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 boleh dihukum sehingga RM50,000 denda dan lima tahun penjara.

Orang ramai boleh menyokong perlindungan hidupan liar dan usaha pemuliharaan SFC dengan melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang yang mencurigakan mengenai perdagangan hidupan liar dan pembalakan haram yang berlaku di kawasan mereka.

Jabatan Hutan Sarawak boleh dicapai di setiap kawasan yang berbeza melalui talian hotline berikut: Kuching (019-8859996), Miri (019-8290994), Bintulu (019-8266096) dan Sibu (019-8290992).