Tiga suspek penyangak jalanan belasah kontraktor ditahan untuk bantu siasatan

0

Oleh Jeremy Lanson//

 

TANGKAP: Ketiga-tiga suspek semasa tiba di Mahkamah Majistret, di Kuching petang semalam.

KUCHING: Tiga suspek buli jalanan yang membelasah seorang kontraktor di Jalan Demak di sini kelmarin direman selama empat hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Superintenden Entusa Imam berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia sekitar 20-an itu ditahan dalam satu serbuan oleh Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Kampung Bako sekitar jam 2 pagi semalam.

Menurut beliau, suspek ditahan selepas kontraktor berusia 46 tahun itu membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan yang turut menyebabkan dia mengalami kecederaan dan terpaksa dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Bertindak daripada maklumat, satu serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Kampung Bako, di mana tiga suspek berusia 21, 26 dan 27 tahun masing-masing berasal dari Kampung Bako Ulu, Bandar Baharu Samariang dan Kampung Bako ditahan.

“Polis masa ini masih dalam usaha mengesan suspek-suspek lain yang masih bebas, manakala kesemua suspek yang ditahan dibawa ke mahkamah hari ini (semalam) untuk permohonan reman,” kata Entusa.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret Kuching sekitar jam 1.30 petang dan permohonan reman selama empat hari telah diluluskan Pendaftar Kanan Bryan Brion Mason bermula semalam.

Entusa sebelum ini memberitahu mangsa bersama seorang rakannya melalui Jalan Demak sekitar jam 3.30 petang kelmarin dan rakannya telah membunyikan hon kepada seorang daripada suspek kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

“Suspek kemudian memberhentikan motosikalnya dan menunjukkan isyarat lucah kepada mereka menyebabkan mangsa keluar dari kereta yang dipandu rakannya dan pergi ke arah suspek sehingga berlaku pertikaman lidah.

“Tiba-tiba suspek dengan bantuan rakannya bertindak memukul mangsa dengan topi keledar dan akibat insiden tersebut mangsa mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di HUS,” katanya.

Insiden tersebut turut dirakam dipercayai oleh seorang daripada rakan suspek yang kemudian memuat naik video berdurasi 56 saat ke laman sosial.

Video tersebut menjadi viral sehingga menimbulkan pelbagai reaksi serta spekulasi.

Justeru, pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan di bawah Seksyen 374 Kanun Keseksaan.