MPS sedia pelan induk atasi kawasan kerap banjir kilat

0

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menyedia satu pelan induk menghadapi banjir kilat lima kawasan kerap banjir kilat di sekitar bandar ini, kata Timbalan Pengerusi MPS, Datuk Andrew Wong.

Katanya, pelan induk itu menelan kos RM21 juta dilaksanakan melibatkan kawasan Kampung Bahagia Jaya Teku, Kampung Jeriah, Kampung Sentosa, bulatan Jalan Merdeka/Jalan Oya dan kawasan komersil Terminal Bas Jalan Pahlawan.

Bagi Kampung Bahagia Jaya Teku, beliau memberitahu pelaksanaan projek jangka masa panjang melibatkan kos RM3.7 juta, Kampung Jeriah (RM3.4 juta), Kampung Sentosa (RM7.1 juta), bulatan Jalan Merdeka/Jalan Oya (RM2 juta) dan kawasan komersil Terminal Bas Jalan Pahlawan (RM4.8).

Wong juga memberitahu, MPS telah menulis surat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi memohon peruntukan bagi melaksanakan pelan induk itu.

“Sebaik kita menerima peruntukan, kita akan melaksanakan projek ini dan berharap ia dapat dilaksana pada tahun ini,” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau kerja menaik taraf jalan di Jalan Tun Abang Haji Openg, semalam.

Turut sama meninjau kerja itu ialah Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King dan Jurutera MPS, Tony Wong.

Wong turut memohon semua penduduk yang kediaman sering dilanda banjir kilat terutama di kelima-lima kawasan terbabit agar bersabar menunggu projek itu dilaksana.

“Kita simpati dengan semua penduduk dan diharap kejadian banjir kilat ini akan selesai sebaik sahaja projek ini siap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wong memberitahu MPS telah menaik taraf dan menurap 46 batang jalan serta lorong sekitar bandar Sibu sejak 14 Febuari lepas dengan kos RM2.5 juta.

Sejumlah 16 batang jalan lagi akan dinaik taraf pada bulan April melibatkan jalan Mangkung Road, Jalan Bintawak, Lorong Mahsuri 1, Lorong Kapor 3, Lorong Teratai 4, Lorong Tuah 5, Lorong Hose, Lorong Pipit 2, Lorong Cherry 12 dan 14, Lorong Rejang Park 14, Jalan Teruntum, Jalan Medang, Lorong Merdeka 7 dan Lorong Rejang Park 20.