Buku mengenai pendidikan awal kanak-kanak dilancar

0

PELANCARAN: Kamalanathan (tengah) bersama penulis lain ketika majlis pelancaran buku bertajuk ‘Early Child Care and Education in Malaysia – Towards Professionalisation’ di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUCHING: Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan P. Panchanathan baru-baru ini melancarkan sebuah buku mengenai Pendidikan Awal Kanak-kanak, yang ditulis bersama dengan pakar tempatan terkemuka dalam bidang itu.

Bertajuk ‘Early Child Care and Education in Malaysia – Towards Professionalisation’, buku yang ditulis oleh Fakulti Pendidikan Awal kanak-kanak Universiti SEGi, dilancar bersempena Pameran Pendidikan FACON yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ia ditulis bersama dengan Lydia Foong, Dr Palanisamy K. Veloo dan Profesor Dr Mogana Dhamotharan.

Kamalanathan berkata, pendidikan awal kanak-kanak merupakan pendidikan penting terutama dalam memastikan perkembangan anak-anak dititikberatkan bermula dari peringkat bawah lagi.

“Pendidikan awal kanak-kanak adalah sebahagian daripada dasar pendidikan dan kita menjangka untuk pendaftaran prasekolah dapat mencapai paras sebanyak 92 peratus pada tahun ini.

“Di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kementerian Pendidikan perlu memastikan bahawa seramai 891, 329 kanak-kanak berusia empat dan lima tahun di seluruh negara akan mendapat pendidikan prasekolah yang disediakan sama ada oleh kementerian, agensi kerajaan lain, sektor swasta atau organisasi bukan kerajaan.

“Saya amat gembira untuk melancarkan buku bertajuk ‘Early Child Care and Education in Malaysia – Towards Professionalisation’, yang saya percaya akan membantu mencapai sasaran kementerian untuk mempunyai kira-kira 30,000 guru prasekolah yang mempunyai kelayakan yang diiktiraf menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu, Lydia yang juga salah seorang penulis buku itu berkata, tenaga kerja yang terlibat dalam pendidikan awal kanak-kanak adalah sangat penting bertujuan sebagai jaminan untuk masa depan anak-anak.

“Dalam usaha untuk mencapai agenda transformasi pendidikan, tenaga kerja yang terlatih, bermotivasi adalah sangat penting untuk masa depan anak-anak kita.

“Kita perlu mengiktiraf potensi tenaga kerja untuk membantu mereka memenuhi keperluan mengenal potensi diri. Kesejahteraan tenaga kerja yang diiktiraf juga penting untuk menjayakan agenda transformasi yang diperkenalkan kerajaan,” kata Lydia.

Manakala menurut Dr Palanisamy K.Veloo, juga pengarang bersama berkata, promosi untuk mengiktiraf pendidikan awal kanak-kanak harus dititikberatkan kerana ia masih dianggap sebagai kerjaya profesional yang mendapat bayaran terendah.

“Jika kita lihat, pendidikan awal kanak-kanak bukanlah pilihan nombor satu setiap pelajar lepasan sekolah dan ia juga bukan satu kerjaya pilihan.

“Justeru, buku yang kami terbitkan ini diharap dapat menyumbang contoh dan teladan sebagai panduan kepada sesiapa sahaja di luar sana mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak oleh pihak berkepentingan yang melibatkan diri dalam memartabatkan pendidikan ini.

“Pada masa sama, kami mendapati walaupun kerajaan kita melakukan semua yang mereka boleh untuk memastikan anak-anak kita mempunyai akses kepada prasekolah yang berkualiti dan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak, ia masih bergantung pada tahap akar umbi.

“Kami telah menyenaraikan beberapa cadangan di dalam buku ini, dan kami berharap semua pengamal pendidikan awal kanak-kanak akan menghayati dan menjadi penyokong yang bersemangat dalam industri ini,” katanya.

Kira-kira, seramai 25, 000 rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor swasta pendidikan awal kanak-kanak dan mendedikasikan kehidupan mereka kepada pemeliharaan dan pendidikan anak sejak lahir sehingga ke peringkat prasekolah (tadika) dan pusat jagaan kanak-kanak (taska) di seluruh negara.

Penyelidikan juga menunjukkan pendidik yang berkelayakan di sekolah juga boleh membantu kanak-kanak membesar menjadi orang dewasa yang mempunyai pengalaman kehidupan yang lebih baik.

SEGi mempunyai sejarah yang berprestij selama melengkapkan profesional pendidikan awal kanak-kanak dan dengan lebih daripada 1, 500 graduan dalam bidang tersebut sejak 1999, SEGi juga dilantik sebagai Johan Point Project 2 (EPP2) oleh Pengurusan Prestasi dan Unit Pelaksanaan (PEMANDU).

Selain itu, ia juga mendapat pengiktirafan dari kerajaan Malaysia dalam Pendidikan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk menggalak serta melatih lebih ramai pengamal dan profesional pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Buku tersebut kini boleh didapati di kedai-kedai buku utama berhampiran anda pada harga RM23.