Edira Cipta Siol ungguli kejohanan badminton Maradong

0

UNGGUL: Pemenang merakamkan kenangan bersama pada majlis penyampaian hadiah.

KUCHING: Pasukan Edira Cipta Siol muncul juara Kejohanan Badminton Bumiputera Terbuka Meradong-Wildaan 2015 yang berlangsung dari 13 hingga 15 Mac lalu di Stadium Kompleks Sukan dan Dewan Masyarakat Bintangor.

Wakil dari Kuching itu menumpaskan Wawood 2-1 dalam perlawanan akhir untuk membawa pulang RM1,400, trofi dan pingat.

Edira mengutip mata pertama menerusi beregu Yusri Azmi Yusuf/Aryf Fiqry Mohamad yang berjaya menewaskan Syafiq Samad/Brandon Caine Mail dengan 21-9, 20-22, 21-18 pada perlawanan cukup sengit.

Mata kemenangan pasukan itu diperolehi menerusi beregu campuran Mohamad Faizal Johan/Zamahari Eddie selepas tidak berdepan masalah menyingkirkan Luqman Khawaja/Samad Jemadi dengan 21-9, 21-14.

Meskipun Wawood berjaya bangkit dalam perlawanan ketiga, ia tidak cukup untuk menghalang Edira muncul juara.

Selaku naib juara, Wawood pulang dengan RM700 dan pingat manakala Saratok yang menduduki tempat ketiga meraih RM300 dan pingat.

Hadiah telah disampaikan oleh Pengurus Jualan dan Pemasaran Online Wildaan Group Sdn Bhd, Dolgani Dollah.

Sejumlah 10 pasukan mewakili beberapa bahagian negeri menyertai kejohanan anjuran Wildaan dengan kerjasama Persatuan Badminton Meradong, Polis Diraja Malaysia IPD Meradong Sarawak dan pasukan badminton T-Team.

Ini termasuk T. Team Meradong, T.Team 1Malaysia, Wildaan, Wildaan Junior, Sarakup, Junior Team dan PBBBN Miri.