Miri catat kes pertama JE tahun ini

0

Oleh Steve Annuar//

 

CEGAH: (Dari kiri) Dr Lily, Lawrence, dan Dr Maurice ketika menjelaskan kepada pemberita perkembangan wabak JE dan denggi di Miri, semalam.

MIRI: Seorang lelaki dewasa disah menghidap wabak Japanese Encephalitis (JE) menjadikannya kes pertama dilapor oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri pada tahun ini.

Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Tudan, Dr Maurice Steve Utap berkata, mangsa mendapat jangkitan ketika bekerja di tapak pembangunan baharu di Bandar Baru Permyjaya.

Beliau memberitahu, punca wabak itu disyaki daripada sebaran burung liar kerana tidak terdapat kandang ternakan babi di sekitar kawasan jangkitan.

“Pejabat Kesihatan menggunakan operasi untuk menangani wabak ini walaupun hanya satu kes. Ini memerlukan komitmen serta langkah awal pencegahan bagi mengawal penularannya,” ujarnya pada sidang media di sini, semalam.

Sepasukan kakitangan Pejabat Kesihatan Miri telah melakukan bancian penduduk untuk mengenal pasti kanak-kanak bawah 15 tahun menerima suntikan vaksin Imojev JE.

Bancian pada 3 Mac itu melibatkan lima kawasan perumahan dan tiga kawasan setinggan terletak dua km radius dari tempat kejadian.

Kawasan terlibat ialah Desa Pujut 1, Desa Pujut 2, Desa Indah 1, Desa Indah 3, Prima Villa Bandar Baru Permyjaya serta setinggan Pujut (Pujut 5, Pujut 6 dan Pujut 7).

“Seramai 193 kanak-kanak menerima suntikan vaksin JE di Klinik Kesihatan Tudan, “ jelas Maurice.

Selain itu, pasukan keselamatan turut membuat kunjungan ke rumah untuk mengenal pasti remaja berusia 15 tahun serta memeriksa kad kesihatan kanak-kanak bawah 7 tahun.

Setelah bancian selesai, pasukan jururawat akan melawat ke rumah untuk memberi suntikan vaksinasi Imojev JE.

Mengulas mengenai jangkitan demam denggi di sini, Pegawai Epidemiologi Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, Dr Lily Rafidah Mohamed Zaki memberitahu, jumlah kes menunjukkan penurunan dalam tempoh tiga bulan.

Sebanyak 26 kes dilaporkan pada Januari, menurun kepada 15 kes pada Februari dan menurun lagi kepada 6 kes pada Mac.

Penduduk boleh mencegah jangkitan dengan memastikan bekas takungan air bebas jentik-jentik serta menjaga kebersihan persekitaran kediaman.

Datuk Bandar, Lawrence Lai meminta penduduk untuk tidak panik dengan jangkitan wabak JE yang kini dalam keadaan terkawal.

Penduduk boleh menghubungi Opsroom Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri di talian 085-442616.

“Pengasapan nyamuk akan dilakukan jika kawasan itu dilapor terdapat dua kes demam denggi. Penduduk harus menjaga kebersihan dan memastikan kediaman bebas nyamuk,” jelasnya.