Skuad Belia tidak rela cicir mata

0

KUCHING: Skuad bawah 19 tahun Sarawak tidak rela keciciran mata di laman sendiri ketika melayan kunjungan Johor pada perlawanan keenam Piala Belia 2015 di sini petang esok.

Selepas tewas tipis 0-1 di tangan Perak pada minggu lalu, pengendalinya Fuad Grbesic menuntut agar pemain-pemainnya bangkit bagi memastikan tiga mata penuh.

Namun, beliau mahu anak-anak buahnya lebih berwaspada kerana menghidu perangkap yang akan dibawa oleh skuad Harimau Selatan itu nanti.

“Kita tidak pernah bersua dengan Johor dan sukar untuk meramal kekuatan mereka. Apapun, ia tidak akan menghalang niat kita untuk memburu kemenangan.

“Justeru, saya menuntut keyakinan dan komitmen semua pemain untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan Sarawak,“ katanya di sini semalam.

Jurulatih kelahiran Bosnia itu turut menggesa pemain-pemainnya agar meningkatkan corak permainan dan lebih berdisiplin untuk mengekang impian Johor.

Katanya, jentera serangan Sarawak perlu lebih kreatif menjana peluang untuk menjaringkan gol.

Perlawanan Sarawak dan Johor akan berlangsung di Padang C, Petra Jaya bermula jam 4.15 petang.

Sarawak kini menghuni tangga ketujuh selepas mengumpul tujuh mata hasil daripada dua kemenangan, sekali seri dan dua kekalahan.