Suku akhir Piala Ketua Menteri menyaksikan beberapa aksi kejutan

0

KUCHING: Saingan suku akhir kejohanan tenis Piala Ketua Menteri Sarawak ke-25 (I) Sirkit Remaja ITF (Gred 1) menyaksikan beberapa kejutan dilakar dalam aksi perseorangan lelaki dan wanita.

Impian pemain pilihan pertama, Yamasaki Jumpei dari Jepun untuk berentap dalam separuh akhir tidak kesampaian selepas dikejutkan Kwon Soon Woo dari Korea Selatan.

Bagaimanapun, Kwon yang juga pilihan keenam acara perseorangan lelaki dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menjinakkan Yamasaki dengan 6-4, 6-3.

Beliau akan bertemu dengan Ly Nam Hoang dari Vietnam yang menjaya mengatasi Wu Yibing dari China dengan 6-3, 6-4.

Satu lagi aksi separuh akhir bakal menyaksikan pertembungan menarik antara pilihan kedua, Oh Chan-Yeong dari Korea Selatan dan Lim Alberto dari Filipina.

Oh layak selepas mengatasi Wu Tung Lin dari Taiwan (6-4, 7-6(3)) manakala Lim menewaskan wakil Turkmenistan, Isa Mammetgulyyev (6-1, 6-3).

Acara perseorangan wanita pula menyaksikan pilihan ke-16, Kankova Lucie terus mencipta kejutan dengan menyingkirkan Yadav Mihika dari India yang juga pilihan ketujuh dengan 6-4, 7-6(4).

Kankova bakal Thamchaiwat Bunyawi selepas pilihan kesembilan dari Thailand itu mengecewakan pilihan keempat dari Indonesia, Nur Haliza Deria dengan 7-5, 6-0.

Satu lagi kejutan menyaksikan pilihan kedua, Zheng Wushuang dari China terkeluar selepas dijinakkan pilihan keenam, Inglis Maddison dari Australia dengan 7-6(5), 6-2.

Inglis akan menentang rakan sepasukan Tjandramulia Olivia yang sebelumnya mengejutkan pilihan ketiga Yadlapalli Pranjala dari India dengan 7-5, 6-1.

Sementara itu, pilihan kelima acara beregu lelaki Lim Alberto dan Ly Nam Hoang melangkah ke final selepas menjinakkan pasangan Korea Selatan, Kwon Soon Woo dan Oh Chan-Yeong yang juga pilihan pertama dengan 5-7, 6-4, 10-5.

Mereka akan menentang pilihan keenam, Hao Wu dan Wu Yibing selepas beregu dari China itu menewaskan pasangan Afrika Selatan, Harris Lloyd dan Laubser Brandon dengan 6-4, 6-4.

Australia pula mengesahkan tempat satu dan dua acara beregu wanita selepas pasangan Tjandramulia Olivia/Bains Naiktha dan Hule Petra/Inglis Maddison menempah slot ke final.