BPIEF peluang terbaik pilih pengajian sesuai

0

KUCHING: Selepas enam tahun menyertai Borneo Post International Education Fair (BPIEF), ternyata ia menjadi satu platform kepada institusi pengajian tinggi dalam usaha mereka merekrut bakal pelajar.

Antara institusi menyertai BPIEF sejak edisi sulung hingga kini ialah Kolej Eksekutif yang telah dianugerah sebagai Booth Terbaik 2014.

Anugerah disampai Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga juga penaung BPIEF Datuk Fatimah Abdullah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Eksekutif, Sheila Sie, sejak menyertai pameran berkenaan, kolej menerima sambutan amat menggalakkan daripada pelajar.

“Melalui pameran ini kami merekrut ramai pelajar hasil penyertaan BPIEF sejak enam tahun lepas.

“Kami juga begitu teruja apabila diumumkan pemenang bagi Booth Terbaik tahun lepas.

“Kami telah menampilkan ruang pameran berkonsepkan inovasi berteknologi tinggi,” katanya ketika ditemui di BCCK, semalam.

Shiela berkata, pihak kolej tahun ini turut menampil usaha kreatif menghias booth dengan konsep hampir sama.

Katanya, kejayaan mencapai anugerah itu hasil usaha semua kakitangan bertungkus-lumus menghasil dan memberi idea konsep.

BPIEF bermula semalam hingga hari ini dan bukan sahaja memberi manfaat kepada institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa tetapi kepada pelajar lepasan sekolah.

Malah ibu bapa turut sama hadir untuk memberi sokongan serta nasihat kepada anak masing-masing mengenai kursus yang sesuai diambil.

Antaranya Hasmah Sauni Samat, 39 tahun menemani anaknya Nur Afifah Haidir berkata, pameran diadakan itu menawarkan peluang baik kepada lepasan sekolah.

Baginya, dengan bimbingan dan panduan ditunjuk pempamer, diharap anaknya dapat memilih kursus atau institusi sesuai dan layak.

“Anak saya masih lagi memilih institusi sesuai dan kita mahukan terbaik kepada mereka.

“Saya mendapati pameran ini amat sesuai dan banyak pilihan boleh kita lihat,” katanya.

Hasmah memberitahu, dia mendengar dan mendapat maklumat mengenai BPIEF dari siaran radio dan akhbar tempatan.

Sementara itu seorang pelajar lepasan sekolah menengah Audrey Libah, berasal dari Serian sanggup turun awal pagi dari rumahnya untuk datang mendapatkan maklumat.

Dia ditemani bapa dan abangnya itu kali pertama datang ke BPIEF namun merasakan maklumat disediakan cukup lengkap.

“Bagusnya program ini adalah mereka menyedia khidmat kaunseling kepada pelajar yang masih belum tahu memilih kursus atau institusi dimahukan.

“Jika kita masih tidak yakin mereka membantu kita. Saya merasakan pameran ini amat baik bukan sahaja daripada maklumat tetapi khidmat disedia,” kata bekas pelajar SMK Serian itu.

Audrey meminati kursus perubatan dan akaun itu memberitahu, dia sanggup datang seawal jam 8 pagi dan mendapat maklumat mengenai pameran daripada keluarga selain akhbar tempatan.

“Selepas saya tahu mengenai pameran, saya mencadangkan kepada bapa supaya kami datang merebut peluang yang ada,” katanya.