Dokumentasi NCR perlu disegera

0

Ia perlu dilakukan elak komuniti Bidayuh daripada ketinggalan: Ik Pahon

Oleh Johnson Saai //

KUCHING: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) berusaha mempercepat proses dokumentasi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi komuniti tersebut.

Presidennya, Datu Ik Pahon Joyik berkata, meskipun ia bukan tugas mudah namun mereka perlu meningkat usaha bagi mengelak komuniti itu terus ketinggalan.

Katanya, setakat ini hanya 64 daripada 350 perkampungan Bidayuh di bahagian Kuching dan Samarahan selesai proses dokumentasi, dua daripadanya berjaya memperoleh geran tanah.

“Kita mengakui agak lambat kerana pelbagai sebab, salah satu daripadanya beberapa penduduk kampung enggan tanah didokumentasi.

“Ramai masih skeptikal ke atas inisiatif kajian perimeter yang diperkenal kerajaan dan ia menjadi masalah menangguhkan keseluruhan proses,” katanya.

“Kita akan meneruskan usaha dan menggesa pihak berkuasa mempercepat pengeluaran geran tanah bagi tanah NCR agar lebih mudah kita menyakinkan yang lain,” katanya.

Katanya, persatuan turut menggalakkan pertubuhan dan persatuan Bidayuh serantau tampil membantu melaksana inisiatif itu dalam mempercepatkan proses tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Majlis ‘Bidayuh Elders’ dan Bengkel Keusahawanan Bidayuh di ibu pejabat DBNA di sini, semalam.

Ik Pahon berkata, persatuan itu masih menjadikan ‘menjana kekayaan menerusi tanah Bidayuh sendiri’ sebagai salah satu daripada lima fokus utama di bawah pelan pembangunan tindakan kedua.

Lima fokus utama itu turut merangkumi memasti status berpendidikan tinggi dalam kalangan anak, pembangunan modal insan, dokumentasi budaya dan warisan Bidayuh serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan Bidayuh.

Ik Pahon berkata, keutamaan mereka sama dengan fasa pertama pelan pembangunan tetapi kali ini menjangka penglibatan lebih rancak masyarakat.

“Kita mahu lebih ramai masyarakat untuk turut serta dan terlibat dalam beberapa perbincangan menerusi bengkel dan seminar bagi berkongsi idea menghasil resolusi baik membangunkan komuniti ini.

“Resolusi dari setiap bengkel dan seminar akan dibentangkan pada Simposium Besar Bidayuh yang akan diadakan pada September ini dimana pengesyoran dan cadangan akan dirujuk kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk dipertimbangkan,” katanya.