Mimpi ngeri buat Freddy

0

Oleh Harry Ilias //

Jentera yang pandunya dilanggar dari belakang pada sesi latihan

MENCABAR: Freddy memandu jentera nombor 544 pada saringan pertama Cabaran Rotax Max Asia 2015 di Sirkit Karting Antarabangsa Sepang minggu lalu.

KUCHING: Pusingan pertama Cabaran Rotax Max Asia (RMC) 2015 yang berlangsung di Sirkit Karting Antarabangsa Sepang pada minggu lalu hampir menjadi mimpi ngeri buat pelumba gokart profesional dari Sarawak, Freddy Lawan.

Ini kerana, jentera yang pandunya dilanggar dari belakang pada sesi latihan pemandu remaja yang turut serta dalam perlumbaan itu.

Ekoran insiden itu, beliau gagal menamatkan perlumbaan di podium kerana enjin jentera baharu itu rosak dan terpaksa beliau menggunakan jentera lama.

Freddy yang membuat kemunculan semula selepas berehat selama setahun akibat kecederaan belakang turut menyelar sikap tidak profesional pelumba tersebut yang hampir membahayakan nyawanya.

“Saya sangat marah dan kecewa kerana insiden itu tidak sepatutnya berlaku di atas jalan lurus. Tambahan pula hanya sesi latihan dan beliau seorang pemandu profesional serta sering memenangi perlumbaan.

“Apa yang mengerikan adalah kemalangan itu hampir meragut nyawa saya kerana jentera yang saya pandu berpusing beberapa kali kesan impak kuat pelanggaran tersebut.

“Bukan itu sahaja, beliau juga enggan memohon maaf kepada saya selepas insiden itu,” kata Freddy namun enggan mendedahkan nama pemandu terbabit.

Mengulas lanjut, Freddy yang bersaing dalam kategori veteran (DD2) memberitahu beliau berpeluang memenangi pusingan pertama perlumbaan itu kerana enjin baharu yang digunakannya – Kosmic – lebih berkuasa dan mampu menyaingi pelumba lain.

Namun, beliau terpaksa menggunakan enjin lama semasa perlumbaan akhir selepas enjin baharu rosak akibat kemalangan tersebut.

“Saya terpaksa memperlahan jentera pada perlumbaan akhir kerana tudung minyak tidak ditutup dengan ketat menyebabkan minyak terkeluar dari enjin.

“Ketika itu, perlumbaan memasuki 12 pusingan dan saya berada pada kedudukan kedua,” katanya amat kecewa selepas sekadar menduduki tempat keempat.

Pusingan pertama itu dimenangi Chong Kun Cheat, tempat kedua ialah Chua Peng Chow dan Lee Lung Nien di tempat ketiga.

Meskipun gagal menaiki podium, Freddy tetap berpuas hati dengan masa yang dicatat terutamanya ketika sesi ujian masa.

Namun, beliau akui banyak yang perlu dipertingkatkan untuk menghadapi saingan akan datang terutamanya faktor staminanya.

Menurut Freddy, minat mendalam dalam sukan tersebut membawanya kembali ke litar meskipun kecederaan dialaminya masih belum pulih sepenuhnya.

Katanya, beliau terpaksa menggunakan pelapik khas untuk melindungi pinggul dan lehernya semasa perlumbaan.

“Saya akan meningkatkan latihan menghadapi empat lagi pusingan bagi melayakkan diri ke perlumbaan akhir,” katanya sambil menambah pentas akhir edisi kali ini berlangsung di Litar Gunskirchen, Austria.

Perlumbaan pusingan kedua akan berlangsung pada 18 dan 19 April depan di litar sama.

Sementara itu, Freddy juga akan menyertai perlumbaan Touring Car Series Asia 2015 (TCSA) pada Jumaat ini di Sirkit Antarabangsa Sepang.