Muaythai: Ijoy bawa pulang Piala Borneo

0

BINTULU: Tiga perlawanan kategori profesional jemputan Borneo dan satu perlawanan Piala Borneo dilangsungkan di Gelanggang Muaythai Tapak Lapangan Terbang Lama di sini malam kelmarin.

Kategori jemputan profesional menyaksikan Ijoy dari Kelab SS Fighter Sarawak menewaskan Faisal Ismail atau dikenali sebagai ‘Lion Boy’ dari Borneo Red Lion Sabah.

Diikuti pertarungan kategori profesional 60 kilogram menyaksikan Basri Gelang Fight dari Pulau Pinang menundukkan Sunny The Silencer dari Borneo Combat Labuan.

Manakala Mohd Zairul Nazizan (Kelab SS Fighter Kuching) menewaskan Mohamad Iskandar Bakar dari PS Muaythai Sebiew Bintulu.

Kategori profesional 48 kg Piala Borneo menyaksikan Teo Seng Meng dari Labuan ASSC menang ke atas Mohd Zairul Nazizan dari Kelab SS Fighter Kuching (Sarawak).

Hadiah-hadiah pemenang disampaikan Setiausaha Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Siti Aishah Othman dan Presiden Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim.