Usaha bangun pendidikan Cina dihargai

0

PENDIDIKAN CINA: Vincent (duduk empat kanan) serta ahli-ahli lain pada AGM Ke-14 Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Sarawak di Sibu semalam.

Persekutuan amat berterima kasih kepada keprihatinan kerajaan negeri: Vincent Lau

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Sarawak semalam melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri atas keprihatinan mereka terhadap pembangunan pendidikan Cina di Sarawak.

Dalam satu kenyataan akhbar oleh Pengerusinya, Temenggung Vincent Lau pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-14 persekutuan itu di sini semalam berkata, langkah kerajaan memberi perhatian kepada pendidikan Cina di negeri ini adalah tepat pada masanya.

“Kami juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada bekas Ketua Menteri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan memberi 2,000 hektar tanah menyokong pembangunan pendidikan Cina.

“Kemudian menerima geran sejumlah RM3 juta tahun lalu daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan tahun ini kita menerima RM4 juta lagi. Kami sangat berterima kasih kepada kedua-dua mereka,” katanya.

Kenyataan itu juga turut memuji usaha Adenan mempertimbang memberi geran tersebut pada setiap tahun.

Beliau berkata, sikap penyayang kerajaan negeri kepada pendidikan Cina menerima pujian daripada orang ramai seluruh negara.

“Usaha-usaha penyelarasan pada empat tahun lalu apabila persatuan kami menerima geran tanah.

“Pembangunan pendidikan Cina melalui masa sukar pada suatu masa dahulu dan kerjasama kerajaan negeri, persatuan kami serta pelbagai organisasi di Sarawak membangunkan pendidikan Cina adalah gabungan baik antara masyarakat Cina dan kerajaan negeri,” jelasnya.

Kenyataan itu juga turut menggambarkan Adenan sebagai Ketua Menteri yang sangat prihatin kepada rakyat di negeri ini.

“Beliau sangat memahami kesulitan dihadapi masyarakat Cina dan sanggup membantu kami membangunkan pendidikan Cina,” katanya.

Beliau menambah, Adenan turut menyokong ‘Unified Examination Certificate’ (UEC) pendidikan Cina tetapi beliau tidak mempunyai kuasa prerogatif menerimanya.

Katanya, Adenan membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bersama isu-isu lain pendidikan Cina seperti pemberian geran tahunan.

Beliau berharap walaupun UEC tidak diterima kerajaan persekutuan, kerajaan negeri boleh menjadi penerajunya.

“Kami percaya usaha berterusan semua sektor dengan kerajaan negeri, pembangunan pendidikan Cina terus meningkat. Dengan sokongan Adenan, kami berharap UEC turut diterima kerajaan suatu hari nanti,” katanya.