Nyalau sokong Dr Rayong jika dicalon semula di DUN Engkilili

2

ENGKILILI: Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak memberi sokongan penuh kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili sekiranya diberi peluang mempertahankan kerusi Engkilili atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sehubungan itu, beliau berharap Dr Rayong diberi peluang sekali lagi mempertahankan kerusi BN DUN Engkilili pada PRN nanti.

“Berilah sokongan kepada Dr Rayong sekiranya beliau sekali lagi diberi peluang untuk mempertahankan kerusi BN di DUN Engkilili nanti,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena perasmian Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) anjuran bersama JKKK Rumah Tawi Duri Bangat dan Revenue Scorp Sdn Bhd di Rumah Panjang Tawi, Lidong di sini semalam.

Rumah Tawi, Duri Bangat, Lidong mula menikmati BELB pada 27 Ogos 2013.

Pada majlis itu, Nyalau mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada JKKK Rumah Tawi dan RM3,000 kepada Biro Wanitanya.

Nyalau turut menasihati pengundi di DUN Engkilili agar terus bersama BN untuk menikmati arus pembangunan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, sejak beliau bersama Dr Rayong menjadi wakil rakyat di kawasan itu, banyak perubahan berlaku di sekitar perkampungan berkenaan.

“Dahulu banyak jalan raya berbatu dan kurang sesuai dilalui tetapi kini sudah bersimen dan begitu banyak rumah panjang belum ada bekalan elektrik 24 jam dan air bersih kini semua sudah ada,” katanya.

Turut hadir Dr Rayong, kakitangan Revenue Scorp Sdn Bhd dan ketua-ketua masyarakat sekitar Engkilili.