Pengurusan hutan diharap tidak abai sensitiviti budaya, tradisi penduduk

0

MIRI: Kerajaan negeri, Pertubuhan Balak Tropikal Antarabangsa (ITTO) dan Pembangunan Rangkaian Asia-Pasifik Pengurusan dan Pemuliharaan Hutan Berterusan (APFNet) semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi Projek Pengurusan Hutan Mapan Berasaskan Kemasyaratan di Kawasan Tadahan Air Sungai Medihit di sini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata di bawah perjanjian itu ketiga-tiga pihak bersetuju membiayai dan melaksanakan projek tersebut.

“Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar sekali gus memberi manfaat kepada komuniti tempatan dan harus mengambil kira penglibatan semua lapisan masyarakat di kawasan terlibat.

“Harapan kita agar mereka menguruskan sumber hutan tanpa mengabaikan sensitiviti budaya dan tradisi penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU sempena Pelancaran Projek ITTO Pengurusan Taman Negara Pulong Tau, di sini semalam.

Kerajaan negeri diwakili Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Sapuan Ahmad, ITTO diwakili Pengarah Eksekutifnya Emmanuel Ze Meka manakala APFNet diwakili Pengarah Eksekutifnya Profesor Qu Guilin.

Awang Tengah berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha ITTO dan APFNet bekerjasama membaiki kualiti pengurusan sumber hutan serta melindungi flora dan fauna.

“Dalam konteks ini, Sarawak sedia bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antabangsa bagi memberi idea bernas atau cadangan meningkatkan sistem pengurusan hutan sedia ada,” jelasnya.

Sambil menyifatkan MoU itu begitu signifikan, Awang Tengah berterima kasih kepada APFNet China dan ITTO yang terus menyokong Sarawak melaksanakan program pemuliharaan dan perlindungan hutan.

Sementara itu, Projek Pengurusan Hutan Mapan Berasaskan Kemasyaratan di Kawasan Tadahan Air Sungai Medihit itu meliputi keluasan 35,400 hektar, terletak jauh di pedalaman Hulu Limbang, utara Sarawak.

Projek mengambil masa selama 24 bulan itu melibatkan kaum Kelabit di Long Napir dan kaum Penan di Kampung Bahagia.

Projek itu bagi meningkatkan pengurusan hutan mapan serta menggalakkan pembabitan komuniti tempatan mengambil bahagian menguruskan sumber hutan dan meningkatkan tahap hidup masyarakat di kawasan terbabit.

Hadir sama Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun ke Malaysia Hiroshi Takashima, Penolong Pengarah Sekretariat ITTO Takeshi Goto, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Gumbang dan Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis.