Rumah hampir rebah

0

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

Penduduk rayu kerajaan bina semula rumahnya, permohonan kepada TBS belum ada jawapan.

MIRI: Seorang penduduk di Kampung Pujut, Tanjong Batu di sini merayu kepada kerajaan agar menyalurkan bantuan untuk membina semula rumahnya yang hampir rebah menyembah tanah.

Sahari Bujang berkata pemohonan mendapatkan bantuan itu telah dipanjangkan kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Kuching namun sehingga kini belum ada jawapan.

“Saya sekeluarga tinggal di rumah ini lebih 30 tahun dan dalam keadaan tidak selamat kerana sudah usang dan amat memerlukan bantuan daripada agensi berkaitan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Sahari bekerja sebagai tukang kayu dan tidak berpendapatan tetap memberitahu bahawa rumah itu ketika ini masih didiaminya namun mereka sekeluarga dalam keadaan berjaga-jaga.

“Apabila hari hujan, rumah kami dibanjiri air hujan berikutan atap yang berlubang, tambahan pula dinding rumah sudah reput dan hanya menunggu masa roboh,” katanya.

DAIF: Sahari menunjukkan struktur rumahnya yang usang dan menunggu masa untuk rebah.

Sahari berkata dia beberapa kali memohon bantuan daripada TBS sejak Jun tahun lalu namun sehingga kini tiada pihak tampil menjelaskan status permohonannya.

Sementara itu, Ketua PAS Miri Jofri Jaraiee berkata agensi kerajaan berkaitan harus tampil menghulurkan bantuan memandangkan keluarga terbabit dikategorikan sebagai miskin.

“Kami telah melihat keadaan rumah tersebut dan sememangnya wajar dibina semula berikutan keadaan strukturnya sudah usang dan bahaya didiami,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar TBS, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi-agensi kerajaan yang lain agar menyalurkan bantuan segera kepada penduduk terbabit atas dasar perikemanusiaan.

“Kami juga berharap pihak yang melaksanakan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dapat melihat keperluan keluarga terbabit sekali gus membantu membina semula rumah tersebut,” katanya.