Salah guna dadah, tiga individu dicekup

0

Oleh Rosemaria Buma//

DICEKUP: Kedua-dua suspek dicekup polis hasil serbuan di sebuah rumah di Taman Tunku, Miri pagi semalam.

Wanita antara yang diberkas dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Tmn Tunku, Miri

MIRI: Seorang lelaki warga asing dan seorang wanita antara tiga individu diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tunku di sini pagi semalam.

Tangkapan ke atas mereka dibuat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Semasa tangkapan, polis menjumpai sejumlah dadah dipercayai jenis syabu.

Berikutan itu, ketiga-tiga suspek berusia 27 hingga 30-an tahun dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat sepasukan polis diketuai Inspektor Shahibbul Najib Kamaruddin membuat serbuan ke sebuah rumah di Taman Tunku di sini.

Dalam serbuan sekitar jam 10 pagi itu, polis menahan dua lelaki termasuk seorang warganegara Thailand dan seorang wanita untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Semasa pemeriksaan, polis menjumpai dan merampas satu peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu anggaran berat satu gram daripada lelaki tempatan.

“Tiga peket mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis sama berat dua gram pula ditemui daripada wanita terbabit,” kata sumber.

Tiada sebarang rampasan dibuat daripada lelaki warga Thailand terbabit yang berusia lingkungan 30-an.

Berikutan itu, ketiga-tiga suspek dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Hasil ujian mendapati hanya air kencing suspek lelaki tempatan menunjukkan kesan positif dadah jenis Amphetamine.

Sehubungan itu, lelaki tempatan terbabit kemudian ditangkap mengikut Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Manakala suspek wanita disiasat mengikut Seksyen 12 (2) akta sama kerana kesalahan memiliki dadah.

Sementara itu, lelaki Thailand terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

Hasil siasatan awal polis mendapati suspek bekerja sebagai nelayan tinggal di negeri ini secara haram sejak tujuh tahun lalu dan datang ke rumah berkenaan berjumpa seorang rakan.

Semasa tangkapan, suspek leka menjahit jala manakala suspek warga tempatan terbabit datang ke rumah itu dipercayai membeli bekalan dadah.