Tamat reman kes buli jalanan, tiga suspek ditahan pula kes rompak

0

BELUM BERAKHIR: Tiga suspek yang tamat reman kes buli, ditahan pula atas kes rompak berkumpulan.

KUCHING: Tiga suspek kes buli di Jalan Demak yang dilepaskan dari tahanan reman pada Isnin lepas, ditahan semula dan diperintah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam atas dakwaan kes lain.

Kali ini, mereka disyaki terlibat dalam kes rompak berkumpulan (berkawan) di Jalan Padungan.

Pendaftar Mahkamah meluluskan perintah reman ke atas tiga suspek yang berusia antara 21 dan 27 tahun bagi membantu siasatan terhadap tuduhan rompakan berkenaan.

Mereka ditahan semula di kompleks mahkamah selepas perintah reman mereka atas dakwaan pembuli jalanan tamat tempoh.

Perintah reman ketiga-tiga suspek pada asalnya selama empat hari bermula 16 Mac.

Pada mulanya mereka disyaki menyerang kontraktor berusia 46 tahun di Jalan Demak di sini sekitar jam 3.30 petang dan rakaman video buli jalanan itu menjadi ‘viral’ dalam media sosial termasuk Facebook.

Mereka kemudian ditangkap semula oleh polis atas dakwaan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki di tempat letak kereta motosikal berhampiran bangunan Tun Jugah, Jalan Padungan.

Suspek didakwa meminta wang daripada mangsa yang mengatakan tidak mempunyai wang yang menyebabkan mereka mengambil motosikal lelaki berkenaan.

Menurut sumber, motosikal berkenaan dikatakan digunakan oleh mereka semasa kes buli jalanan terbabit.

Kes rompakan berkumpulan itu kini masih disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.