Kaki tersepit lubang

0

Oleh Clare Cinderella //

Kaki kanak-kanak berusia setahun 10 bulan terperosok ke dalam lubang bilik mandi di rumahnya

BERTAHAN: Mangsa ditemani ibunya di dalam bilik air menunggu dengan sabar anggota bomba mengeluarkan kakinya yang tersepit di dalam lubang air berkenaan.

MIRI: Sepasukan anggota bomba dan penyelamat semalam bergegas ke sebuah rumah di Desa Pujut 2 di sini untuk membantu mengeluarkan kaki seorang kanak-kanak yang tersepit di dalam lubang air di bilik mandi rumahnya.

Kanak-kanak lelaki berusia setahun 10 bulan itu mandi dan bermain bersama abangnya yang berusia tujuh tahun di bilik mandi itu sebelum kakinya terperosok ke dalam lubang air yang tidak berpenutup lagi.

Pihak bomba tiba di kediaman keluarga mangsa sejurus menerima panggilan kecemasan itu.

Bomba memulakan operasi pada jam 10.45 pagi dan mengambil masa selama satu jam lima minit untuk mengeluar kaki mangsa yang tersekat di dalam lubang air berkenaan.

Anggota bomba terpaksa memecah beberapa keping jubin pada lantai dan memotong laluan air diperbuat daripada plastik sebelum kaki kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan.

Pegawai Bomba Hana Razali mengetuai operasi tersebut memberitahu, anggota bomba bertindak cekap berjaya mengeluarkan kaki mangsa tanpa sebarang kecederaan.

Sementara itu,  ibu mangsa terpaksa berada di sisinya sepanjang masa kerana kanak-kanak terbabit takut bersendirian dengan anggota bomba.

BANTU: Anggota bomba terpaksa berhati-hati memecahkan beberapa bahagian tertentu di sekeliling lubang air berkenaan bagi mengeluarkan kaki mangsa.