Polis terus gempur premis perjudian siber

0

Oleh Jessica Jawing //

Polis Kuching tangkap 15 orang dalam 14 serbuan Ops Dadu setakat 3 bulan tahun ini

RAMPASAN: Roslan (tengah) menunjukkan pelbagai peralatan yang digunakan suspek pecah rumah yang berjaya dirampas oleh polis dalam tangkapan yang dibuat.

KUCHING: Polis Kuching berjaya menangkap 15 orang dalam 14 serbuan Ops Dadu, iaitu operasi melibatkan judi siber dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata, Ops Dadu yang diadakan sepanjang Januari hingga Mac tahun ini menyaksikan tiada tangkapan pada Januari berbanding tujuh orang ditangkap pada Februari sementara lapan orang pada Mac.

“Apa yang berlaku pada Februari mereka mula curi-curi namun bertindak atas risikan kami berjaya melakukan enam serbuan dengan menangkap tujuh orang serta merampas 92 komputer dan wang tunai RM1,827.

“Operasi kami berterusan pada Mac dengan lapan serbuan di mana kami berjaya menangkap lapan orang dalam serbuan.

“Kami percaya kejayaan ini juga hasil daripada kerjasama orang ramai sementara polis menjalankan siasatan dan risikan tetapi maklumat orang awam juga penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Polis Ke-208 di padang kawad IPD Kuching di sini, semalam.

Selain serbuan sedemikian, Roslan berkata pihaknya turut memotong bekalan elektrik dan air di premis berkaitan dengan kerjasama agensi lain seperti SESCo di mana tiga bulan pertama tahun ini mereka berjaya melakukan lapan pemotongan bekalan air dan elektrik.

“Pada tahun ini operasi kami bukan sahaja menangkap tetapi akan memotong bekalan elektrik dan air bagi menghalang mereka terus beroperasi.

“Sepanjang Februari kami telah melakukan enam pemotongan manakala Mac sebanyak dua pemotongan bekalan air dan elektrik,” tegasnya.

Sementara itu mengulas mengenai statistik indeks jenayah IPD secara keseluruhan bagi Januari hingga 23 Mac 2015, Roslan berkata, ia menunjukkan penurunan sebanyak 7.34 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Jelas beliau dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2011 hingga 2015, IPD Kuching mencatat penurunan indeks jenayah berturut-turut di mana ia menyaksikan secara keseluruhan penurunan hampir 50 peratus dalam tempoh lima tahun berkenaan.

“Misalnya perbandingan indeks jenayah tahun 2011 dan 2010 ia menunjukkan penurunan 9.94 peratus manakala tahun 2012 berbanding 2011 juga menunjukkan penuruan sebanyak 13 peratus.

“Pada tahun 2013 berbanding 2012 menurun lagi sebanyak 20 peratus dan tahun 2014 berbanding 2013 sebanyak 18.43 peratus indeks menurun,” tegasnya.

Beliau berkata jika dilihat secara keseluruhan peratus dalam tempoh lima tahun berkenaan ia mencapai 50 peratus penurunan indeks jenayah di bawah IPD Kuching.