Anggota PGA disiasat

1

Oleh Clare Cinderella //

Suspek dipercayai terlibat melindungi nelayan Suluk menangkap ikan secara haram di perairan Miri

PULIH: Nelayan tempatan kembali sibuk di laut dengan aktiviti penangkapan ikan, manakala orang ramai termasuk para penguat kuasa dan pemimpin masyarakat turut berada di pantai Lutong semalam.

MIRI: Seorang anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) kini disoal siasat kerana disyaki terlibat melindungi nelayan Suluk dari Sabah dan Filipina yang menangkap ikan dan bubuk secara haram di perairan Miri di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit memberitahu laporan polis terhadap anggota itu telah dibuat oleh Jabatan Imigresen Bahagian Miri selepas menerima maklumat nelayan tempatan.

“Polis mengesahkan menerima laporan Jabatan Imigresen terhadap anggota PGA terbabit dan siasatan kini sedang dijalankan,” katanya di sini semalam.

Stanley berkata, kes berkenaan telah diserahkan kepada Pegawai Memerintah PGA di Kuching untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan penglibatan suspek melindungi nelayan asing.

Pada 12 Mac, nelayan tempatan melaporkan bahawa nelayan asing, khususnya Suluk, telah bertindak agresif terhadap mereka ketika menangkap bubuk di perairan Miri, berhampiran pantai Lapangan Terbang Lama Lutong di sini.

Kemarahan nelayan tempatan memuncak apabila nelayan asing mula menakut-nakutkan mereka supaya tidak menangkap bubuk di kawasan berkenaan.

Sekumpulan nelayan tekad mengadu masalah kepada media selepas aduan yang sama dibuat pada 2014 tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa.

Ternyata pendedahan media menarik kerjasama semua pihak, sekali gus agensi penguat kuasa melancarkan operasi besar-besaran membanteras kebanjiran nelayan asing Suluk, Filipina.

Ekoran operasi pada 18 dan 19 Mac lalu, 155 orang ditahan dan 14 rumah setinggan menjadi kediaman kumpulan terbabit dirobohkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Memerintah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Miri, Syed Nor’ Adli Syed Abdul Rahman ketika dihubungi semalam memberitahu, operasi dan pemantauan di laut masih diteruskan.

Beliau memberitahu, hari ini pasukan penguat kuasa terdiri daripada APMM, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut Sarawak, Unit Polis Marin dan nelayan tempatan akan bermesyuarat di pejabat itu untuk mendapat perkembangan dan maklumat terkini berhubung operasi pembanterasan tersebut.

Malah, katanya, beberapa aset milik APMM dan pasukan penguat kuasa lain turut dikerah bagi melakukan rondaan di perairan utara negeri ini dan mengawasi aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan tempatan melibatkan bot nelayan tempatan, sekali gus memastikan tiada lagi pencerobohan di perairan oleh nelayan asing.