Lelaki nyaris putus kaki dibaham buaya

1

CEDERA: Mangsa semasa tiba di HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki nyaris terputus kedua-dua kakinya selepas dibaham buaya ketika memasang pukat di sungai Kampung Melayu di sini, petang semalam.

Menurut sumber, mangsa, 32, dan berasal dari Kampung Reban sebelum kejadian bersama seorang rakannya pergi ke sungai berkenaan menaiki perahu.

Selepas 40 minit perjalanan, mangsa dan rakannya turun ke dalam sungai untuk memasang pukat tanpa menyedari kehadiran reptilia tersebut.

“Mangsa yang masih berada di dalam sungai kemudian menjerit meminta tolong daripada rakannya apabila berasa kakinya telah dibaham buaya.

“Rakan mangsa dengan bersenjatakan parang kemudian terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Buaya tersebut yang mungkin cedera akibat ditetak rakan mangsa itu kemudian melepaskan mangsa dan peluang itu digunakan mereka untuk menyelamatkan diri,” kata sumber.

Mangsa yang parah dari paras lutut kakinya itu kemudian dikejarkan terus ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporakan stabil dan telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.