Mangsa terbaharu tiga wanita misteri kehilangan RM200,000

0

SIBU: Lagi mangsa terbaharu tiga wanita yang tidak dikenali dipercayai pendatang asing dari China yang berjaya menipu seorang warga tua tempatan apabila menyerahkan barang kemas dan simpanan seumur hidup berjumlah RM200,000 di sini, pagi kelmarin.

Sama seperti kejadian sebelum ini, ketiga-tiga wanita misteri ini menggunakan modus operandi yang sama dengan menukarkan wang serta barang kemas mangsa dengan dua botol air minuman dan sebungkus garam.

Kejadian itu berlaku apabila mangsa berjumpa dengan tiga wanita pertengahan umur di pusat komersil Jalan Salim dekat sini pada waktu pagi.

Pengadu, 68, dikatakan sedang berada di kawasan pusat komersil berkenaan apabila seorang wanita pertengahan umur tiba-tiba muncul dan menyapanya.

Ketika mereka sedang berbual-bual, dua lagi wanita dipercayai juga warga China mendekatinya.

Mereka kemudian memberitahu pengadu bahawa salah seorang anak pengadu akan ditimpa musibah yang menyebabkan kematian jika tidak ditangani segera.

Salah seorang wanita berkenaan memberitahu pengadu bahawa anaknya akan meninggal dunia jika dia tidak berjumpa dengan seorang bomoh yang disyorkan mereka.

Pengadu mula bimbang serta takut sesuatu buruk berlaku kepada anaknya, terus meminta nasihat  mereka, bagaimana cara mengelakkan anaknya ditimpa nasib malang tersebut.

Pengadu kemudian telah disuruh untuk mengambil semua wang simpanannya di dalam bank serta barang kemas miliknya di rumah dan perlu diserah kepada salah seorang wanita China berkenaan.

Setelah melakukan seperti yang disuruh pengadu kembali ke tempat pertemuan sebelum ini dan menyerahkan wang tunai serta barang kemas yang disimpan di dalam sebuah beg plastik.

Salah seorang daripada tiga wanita berkenaan memintanya untuk menyerahkan wang tunai serta barang kemasnya yang dimasukkan ke dalam sebuah plastik berwarna hitam agar ia boleh dijampi.

Setelah dijampi, salah seorang wanita China tersebut  mengembali beg plastik seperti diserahkan  pengadu sebelumnya dan dia tidak dibenarkan melihat kandungannya sehingga tempoh sembilan hari.

Pengadu kemudian diarah pulang ke rumah manakala tiga wanita asing tersebut terus beredar dari situ.

Apabila pengadu sampai di rumahnya dia berasa tidak sedap hati dan nekad untuk membuka beg plastik tersebut.

Alangkah terkejutnya apabila pengadu hanya mendapati dua botol air minuman serta serta dua biji oren sahaja di dalamnya.

Apabila pengadu tersedar dia telah ditipu oleh tiga wanita terbabit dia terus ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis petang kelmarin.

Menurut pengadu semua wang simpanan dianggar lebih RM100,000 dan pelbagai jenis barang kemas juga bernilai RM100,000 kini lesap.

Kes tersebut akan disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.