Pengawal mati mengejut, niat cari rezeki lebih tidak kesampaian

0

MATI MENGEJUT: Mayat mangsa dihantar ke HUS oleh anggota polis yang tiba di lokasi kejadian.

KUCHING: Niat seorang pengawal keselamatan mencari rezeki lebih tidak kesampaian apabila dia disahkan meninggal dunia di pondok tempatnya bekerja semalam.

Mangsa ialah Jamalludin Murat berusia 51 tahun dan berasap dari Kampung Panglima Seman.

Menurut sumber, mangsa bekerja dari jam 11 malam Rabu lepas dan sepatutnya pulang pada jam 7 pagi semalam tetapi bekerja lebih masa untuk mendapatkan gaji tambahan.

Difahamkan, mangsa kelihatan lesu semasa rakannya mengajak untuk makan bersama pada tengah hari semalam sebelum dia ditemui tidak sedarkan diri sekitar jam 3 petang.

Rakan mangsa cuba membantu mangsa selain turut menghubungi anggota paramedik untuk rawatan kecemasan.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas itu.

Beberapa anggota polis dari balai berhampiran juga dikerahkan ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk upacara pengebumian.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).