Remaja lahirkan anak bapa saudara

0

MARUDI: Tembelang bapa saudara merogol anak saudaranya berusia 16 tahun terbongkar selepas mangsa melahirkan seorang anak di Hospital Miri baru-baru ini.

Kisahnya diketahui apabila pihak hospital menghubungi ibu mangsa untuk memberitahu bahawa anak perempuannya selamat bersalin.

Ibu mangsa yang berada di Bakong terkejut dan bergegas melawat mangsa bagi mengetahui perkara sebenar.

Mangsa memberitahu, dia telah dirogol bapa saudaranya di kediaman mereka di sebuah rumah panjang di Sungai Seruas, Bakong.

Mangsa turut memberitahu, bapa saudaranya mengugut mencederakan mangsa jika memberitahu kejadian itu kepada orang lain.

Malah mangsa juga diancam menggunakan pisau jika enggan memuaskan nafsu bapa saudaranya.

Ibu mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Marudi pada 24 Mac lalu dan memberitahu, mangsa dijaga oleh sepupu dan suami (suspek) sejak berusia setahun.

Sejurus selepas laporan dibuat, suspek berusia lingkungan 40-an, ditangkap sepasukan polis di sini, dalam satu serbuan diketuai DSP Roslan Mat Kib ke atas sebuah rumah di Kampung Pasir, Lutong di Miri pada jam 8 malam kelmarin.

Suspek ditahan di lokap Balai Polis Marudi sementara menunggu perintah reman kerana sehingga semalam, suspek belum diarah perintah reman kerana ketiadaan pegawai yang layak.