Suami kecewa bakar diri dengan petrol

0

Oleh Michael Ubam //

Mangsa dipercayai mengalami masalah rumah tangga setelah berpisah dengan isteri

SIBU: Seorang lelaki mengalami kelecuran separuh badan selepas membakar diri dengan minyak petrol dipercayai cuba membunuh diri di kediamannya di Sungai Salim di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam itu, mangsa telah memberitahu adik tirinya bahawa dia tidak dapat meneruskan kehidupannya kerana masalah keluarga yang dialami selama ini.

Sebelum kejadian itu, mangsa dikatakan baharu sahaja pulang menghadiri satu sesi minum bersama rakan  di rumah mereka.

Mangsa kemudian pulang ke rumah dan masuk ke dalam bilik di bahagian dapur dalam keadaan yang mencurigakan ibunya.

Bimbang melihat keadaan anak tidak seperti biasa, ibunya bertindak mengekori mangsa ke dalam bilik berkenaan dan mendapati pakaian dipakai mangsa serta badan mangsa sedang dijilat api dipercayai dia cuba membunuh diri.

Cemas dengan keadaan tersebut, ibu mangsa serta dibantu oleh emak saudaranya cuba memadamkan api dengan menggunakan kain.

Adik mangsa yang berada di rumah tersebut juga cuba membantu dengan menyimbah air ke arah badan abangnya.

Akibat tindakan itu, mangsa telah mengalami kelecuran daripada paras pinggang sehingga ke kepala menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.

Adik mangsa kemudian bergegas menghubungi talian kecemasan untuk meminta ambulans untuk menghantar mangsa ke Hospital Sibu.

Mangsa yang masih tidak sedarkan diri  kini sedang menerima rawatan di Unit Kawalan Rapi (ICU).

Difahamkan mangsa pernah berkahwin dengan seorang wanita berumur 27 tahun sejak lima tahun lalu tetapi rumah tangga mereka goyah setelah dia sukar membuang tabiat minumnya.

Menurut ibu mangsa, anak lelakinya tidak tinggal bersama isterinya sejak tiga tahun yang lalu kerana dipaksa berpisah dengan isterinya oleh pihak ketiga.

Sejak itu, tingkah laku mangsa banyak berubah kerana dipercayai kecewa selepas tidak dapat bersama isterinya lagi.

Ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Sibu Jaya pada awal pagi semalam.