Tiga ditahan, polis yakin selesai tujuh kes ragut

0

KEJAYAAN: Stanley (empat kanan) menunjukkan topi keledar yang dirampas daripada suspek dipercayai digunakannya untuk meragut beg mangsa dalam kejadian di Taman Piasau.

MIRI: Polis Miri percaya dapat menyelesaikan lebih tujuh kes ragut sekitar bandar raya ini dalam tempoh Februari hingga 24 Mac lalu dengan penangkapan dua lelaki termasuk seorang bekas banduan tegar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit berkata kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an ditangkap sekitar jam 6.30 petang, 24 Februari lalu di hadapan sebuah rumah di Taman Permai, Jalan Dato Permaisuri, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Jelasnya, setakat ini polis mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam tujuh kes ragut dan polis percaya mereka turut terlibat dalam beberapa kes lain termasuk rompak bersenjata memandangkan semasa tangkapan dibuat, polis merampas sebilah pisau lipat daripada suspek utama, bekas banduan tegar.

“Suspek utama baharu dibebas dari penjara pada Februari lepas setelah dijatuhi hukuman penjara empat bulan pada Oktober tahun lalu kerana kesalahan sama.

“Namun sebaik keluar penjara, dia terus aktif melakukan jenayah ragut bersama seorang rakan yang ditangkap bersamanya pada 24 Mac lalu,” katanya lebih lanjut.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Balai Polis Pusat Miri di sini petang semalam.

Justeru, Stanley menggesa orang ramai pernah menjadi mangsa jenayah ragut dalam tempoh tersebut supaya tampil membuat laporan polis dan membuat pengecaman barang kes.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri, DSP Nixon Joshua Ali, ASP Cheong Soon Yew dan beberapa pegawai penyiasat serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri.

Menyentuh lanjut kes itu, Stanley memberitahu dua kes terbaharu dilakukan suspek di Taman Piasau di sini pada 22 Mac lalu apabila suspek utama meragut beg seorang wanita yang hendak memasuki kawasan rumahnya.

Kata Stanley, insiden itu telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa dan kemudian menjadi viral di media sosial.

Manakala satu kes lagi dilakukan mereka sekitar jam 4.15 petang, 24  Mac lalu di kawasan letak kereta Dewan Suarah Miri di sini.

“Semasa tangkapan dibuat, polis merampas beberapa barang kes hasil kegiatan ragut selain motosikal dan topi keledar diguna suspek meragut mangsa seperti dalam rakaman CCTV di rumah pengadu,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pada sidang media sama, Stanley turut memberitahu pihaknya berjaya menumpas satu sindiket curi motosikal yang dilapor berlaku di Miri dengan penangkapan lapan lelaki tempatan dan merampas enam motosikal curi hasil serbuan di beberapa kawasan di sekitar Miri.

“Tangkapan terhadap semua suspek berusia antara 17 hingga 46 tahun dibuat hasil serbuan di beberapa kawasan di sini termasuk Permyjaya, Sungai Baong Krokop, Jalan Miri-Bypass dan Jalan Kwangtung sejak 14 hingga 22 Mac lalu.

“Begitu juga rampasan enam buah motosikal hasil serbuan di beberapa lokasi di Miri Krokop 10 dan Kampung Beraya Lama,” jelasnya.

Justeru, katanya, polis menjalankan siasatan lanjut mengenal pasti motif sama ada mencuri (motosikal) untuk kegunaan sendiri bagi tujuan merempit atau dijadi kenderaan melakukan jenayah serta dileraikan bagi mendapatkan alat ganti.

Tangkapan dan rampasan telah dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya.