Bomoh disyaki cucuh tiga budak menyerah diri

0

SERAH DIRI: Bomoh disyaki terlibat dalam kes penderaan tiga kanak-kanak menyerah diri di Balai Polis Sentral petang semalam.

SIBU: Seorang bomoh Cina yang dipercayai terbabit dalam kes penderaan melibatkan tiga kanak-kanak baru-baru ini menyerah diri di Balai Polis Sentral di sini, petang semalam.

Lelaki tersebut dikatakan baharu sahaja pulang ke sini kelmarin sejak dia dijejaki polis.

Dia diiringi dua rakan tiba di balai sekitar jam 2.30 petang dan ditahan sejurus proses dokumentasi terhadapnya selesai selama satu jam, manakala perintah reman terhadapnya dijangka dibuat hari ini.

Pada 19 Mac lalu, polis menahan seorang ibu kepada tiga kanak-kanak yang didapati mempunyai kesan parut pada badan selepas dipercayai dicucuh dengan gaharu atau colok.

Menurut laporan, isteri pengadu telah dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas ditahan reman beberapa hari.

Ibu mereka dipercayai membawa ketiga-tiga anaknya ke sebuah tokong Cina di Bukit Lima di mana insiden dera dipercayai berlaku semasa upacara sembahyang dilakukan sejak tahun lepas.

Pada 18 Mac lalu, bapa mangsa hanya dikenali sebagai Fung bertindak membuat laporan polis selepas mengesyaki ketiga-tiga anaknya didera apabila mendapati kesan calar dan parut pada bahagian badan mereka.