DAP Sarawak keluar PR berkuat kuasa serta-merta

0

CHONG

KUCHING: Selepas tidak berpuas hati dengan hasrat Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk melaksanakan hukum hudud, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak semalam mengumumkan keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) Sarawak berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, keputusan itu diambil selepas pihaknya kecewa dengan PAS kerana melanggar dasar PR apabila terus berhasrat melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

“Selagi pelaksanaan hukum hudud terus menjadi agenda politik dan impian PAS, kita (DAP Sarawak) tidak dapat bekerja dengan PAS sebagai parti politik di Sarawak,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa DAP Sarawak, semalam.

Chong berkata, DAP Sarawak berhak berbuat demikian memandangkan majoriti rakyat negeri ini menyokong tindakan pihaknya.

“Kita (DAP Sarawak) mempunyai autonomi untuk membuat keputusan seperti ini. Kami percaya keputusan hari ini (semalam) amat disokong majoriti rakyat negeri ini,” katanya.

Chong turut mendakwa, hukum hudud di Kelantan adalah permainan politik antara UMNO dan PAS, justeru adalah jelas bahawa Sarawak tiada tempat untuk kedua-dua parti tersebut.

“Pergerakan politik tidak bertanggungjawab antara PAS dan UMNO bukan sahaja menyebabkan perpecahan dalam PR tetapi turut membabitkan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak menangguhkan keputusannya sama ada menyokong pelaksanaan hukum hudud atau sebaliknya.

“Kita mahu Najib membuat keputusan bagi pihak UMNO mengenai pelaksanaan hukum hudud.

“Ini kerana 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Kelantan menyokong hukum hudud,” kata Chong.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengajak mana-mana parti politik yang menyokong sekularisme di Malaysia agar bersama-sama DAP membentuk kerajaan pakatan bagi menggantikan BN sedia ada.

“Kita mempelawa mana-mana parti politik yang menyokong sekularisme untuk bersama kita membentuk kerajaan pakatan baharu,” tegasnya.