Guru perlu sensitif terhadap isu agama dan kaum pelajar

0

MIRI: Setiap guru diingat supaya berhati-hati dan bersikap sensitf terhadap isu agama dan kaum ketika mengajar, kata Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah.

Jelasnya, kedua-dua isu itu harus dipandang serius bagi mengelak guru terlibat dalam isu perbalahan kaum kerana wujudnya salah faham.

“Apa juga niat, tujuan guru, sensitiviti agama harus diberi keutamaan. Kita tidak mahu salah faham berlaku,” jelas Fatimah yang ditemui pemberita selepas menghadiri majlis di Hotel Mega semalam.

Beliau berkata demikian mengenai kes dakwaan ibu bapa tentang cubaan guru mengislamkan anak perempuan mereka berusia 13 tahun.

Kes itu menjadi viral di laman sosial apabila pengguna Internet berkongsi gambar surat aduan ibu bapa dan laporan polis malah tindakan guru berkenaan juga turut dikecam.

Fatimah berkata, guru tidak harus bertindak sendirian sekiranya bersikap waswas dalam berdepan isu sensitif di sekolah.

“Kalau ada perkara menyentuh sensitiviti agama, anda harus merujuk kepada pengetua sebagai ketua sekolah anda. Jika menyentuh mengenai kebajikan anak, ibu bapa mempunyai tanggungjawa dan hak terhadap anak berusia 18 tahun ke bawah,” jelasnya.

Selain aduan dan laporan polis, turut menjadi viral di laman sosial ialah gambar ibu bapa menunjuk sepasang baju kurung dan telekung yang didakwa diberi kepada anak mereka.

Fatimah berkata, pemberian baju kurung boleh dianggap sebagai hadiah biasa melihat kepada imej baju kurung sebagai baju kebangsaan.

Bagaimanapun, pemberian telekung kepada pelajar bukan beragama Islam akan memberi implikasi berlainan sekali gus menimbul isu salah faham.

“Dalam apa jua keadaan, kalau seorang itu masih dalam kumpulan umur kanak-kanak bawah 18 tahun, penjaga sah adalah ibu bapa. Dia mempunyai ibu bapa sebagai orang yang ada hak terhadap anak.

“Telekung dikait dengan agama. Kita perlu berhati-hati. Kita perlu merujuk kepada ibu bapa sebagai penjaga sah, “ jelas beliau.